Yayasan Strategik Lestari: Pengundi Pahang Barat Beri Gambaran Jelas Nilai Semula PilihanMereka Pada Pilihan Raya Umum Ke-16

by Oh! Semput


3
SHARES
38
VIEWS
Posted on 30 Apr 2026 16:32:24

DINAMIKA politik di Pahang barat kini kelihatan semakin menarik untuk diperhatikan.

Satu kajian lapangan oleh Yayasan Strategik Lestari yang melibatkan 1,278 responden di tiga DUN iaitu Dong, Damak dan Ketari, memberikan gambaran jelas; pengundi di kawasan ini sedang menilai semula pilihan mereka dan persaingan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) mungkin tidak seselesa yang disangka mana-mana pihak.

Pertama, dapatan kajian menunjukkan kecenderungan pengundi lebih memihak kepada Perikatan Nasional (PN) sebagai gabungan yang diyakini mampu mentadbir negeri, sama ada secara tunggal atau melalui kerjasama dengan Barisan Nasional (BN).

Menurut Ketua Penyelidiknya, Dr Mukhtaruddin Musa secara angka, 33.6 peratus responden memilih PN sebagai pentadbir tunggal berbanding BN pada 20.9 peratus, manakala 18.6 peratus pula yakin kepada gabungan PN–BN.

Pakatan Harapan (PH) pula jauh lebih rendah, dengan 4.9 peratus menyatakan sokongan kepada PH dan 8.8 peratus memilih gabungan PH–BN.

Apa yang boleh dibaca daripada angka ini? Di Pahang Barat, jenama gabungan berteraskan PN lebih dominan dalam persepsi responden, sama ada sebagai kerajaan tunggal atau sebagai pakatan bersama BN.

Namun, dapatan yang tidak kurang penting ialah kewujudan kumpulan ‘tidak kisah’ yang besar.

Sebanyak 13.2 peratus responden tidak meletakkan kesetiaan mutlak kepada mana-mana gabungan.

Menariknya, kumpulan kaum Tionghua merupakan yang tertinggi dalam kategori ini.

Mereka lebih cenderung mengambil pendekatan ‘tunggu dan lihat’, asalkan kerajaan yang memerintah mampu mentadbir dengan baik.

Dalam suasana persaingan rapat, kumpulan seperti ini sering menjadi penentu—bukan kerana mereka ‘tidak peduli’, tetapi kerana mereka menilai prestasi dan keupayaan tadbir urus sebagai syarat utama.

Dari segi umur, coraknya juga jelas. Pengundi muda kekal konsisten menyokong PN, selari dengan pola yang dilihat sejak PRU15.

Pengundi warga emas pula masih cenderung memilih BN, walaupun kelompok umur lain menunjukkan perubahan kepada PN.

Dari sudut kaum, pengundi Melayu cenderung melihat PN sebagai pilihan yang lebih diyakini. Pengundi Cina pula memperlihatkan pola lebih bercampur, termasuk peratus yang besar memilih ‘tidak kisah’, yang membawa maksud: segmen ini tidak semata-mata bergerak kerana label parti, tetapi kerana keyakinan terhadap keupayaan mentadbir.

Soal ‘kerajaan selesa atau tidak’ juga diteliti dalam kajian ini. Hanya 52.8 peratus responden menyatakan akan mengundi semula parti pemerintah dalam pilihan raya akan datang, manakala 47.2 peratus menyatakan mereka tidak berhasrat berbuat demikian.

Jurang sekitar lima peratus ini bukan kecil dalam politik. Ia memberi isyarat bahawa sokongan sedang terbelah dan boleh berubah dengan pantas jika isu kos sara hidup, tadbir urus atau integriti menjadi pemicu, malah apabila responden ditanya tentang calon Menteri Besar, dapatan menunjukkan 42.7 peratus mahu Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail terus memimpin, manakala 42.2 peratus memilih calon daripada PN.

Lebih menarik, 10 peratus responden memilih seorang Exco daripada parti yang sama sebagai calon Menteri Besar.

Dalam erti kata lain, pengundi menilai bukan sahaja parti bahkan individu dan alternatif kepimpinan.

Dalam masa sama, kajian merekodkan lebih 60 peratus responden berpuas hati dengan peranan pembangkang. Pengundi muda bawah 30 tahun khususnya menunjukkan tahap kepuasan yang tinggi.

Dapatan ini penting kerana ia menggambarkan pengundi muda semakin memandang peranan semak dan imbang sebagai ukuran prestasi—walaupun pembangkang tidak mempunyai dana dan jentera sebesar kerajaan.

Kajian turut menyentuh faktor pilihan pengundi. Secara keseluruhan, responden cenderung memilih parti yang menekankan agenda agama dan bangsa, perpaduan kaum serta keupayaan menunaikan manifesto.

Pengundi Melayu meletakkan agenda agama dan bangsa sebagai faktor paling dominan. Pengundi Cina dan India pula lebih menekankan perpaduan, janji manifesto dan isu kemanusiaan.

Ini menunjukkan bahawa mesej politik yang berkesan tidak boleh satu dimensi; ia perlu mengambil kira keutamaan yang berbeza mengikut segmen pengundi.

Dari sudut integriti, PAS dan UMNO dikenal pasti sebagai parti paling aktif di lapangan melalui kerja kebajikan dan penyelesaian isu setempat.

Namun, apabila responden menilai parti yang paling bersih dan bebas rasuah, PAS mendahului dengan 70.2 peratus pengiktirafan.

Dapatan ini konsisten merentas segmen, dan menunjukkan isu integriti masih menjadi modal politik yang besar.

Akhirnya, kajian ini turut memperlihatkan rasional pengundi. Majoriti responden, 71.4 peratus, menyatakan pilihan mereka dibuat berdasarkan prinsip dan dasar perjuangan parti, bukan tekanan keluarga atau pengaruh rakan sebaya.

Namun faktor personaliti tokoh masih memberi kesan sekunder, iaitu 17.2 peratus. Kesimpulannya, Pahang Barat sedang bergerak ke arah landskap yang lebih kompetitif.

Lebih signifikan, wilayah ini turut melibatkan DUN Jelai—kawasan Menteri Besar—yang menjadikan dapatan kajian sebagai satu ‘isyarat awal’ yang wajar dibaca serius oleh semua pihak menjelang PRU16. #MalaysiaGazette

http://www.pahangdaily.blogspot.com

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts