by Oh! Semput
Dua individu daripada Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Wangsa Maju diarahkan melepaskan jawatan masing-masing serta-merta susulan video tular berkaitan dakwaan meminta wang perlindungan daripada sebuah premis perniagaan.
Menerusi kenyataan rasmi dibuat Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah Persekutuan, Datuk Azman Abidin, beliau menyatakan keputusan terhadap R Vijeyndran dan G Paarthiydasan itu dicapai dalam mesyuarat Biro Politik PKR Wilayah Persekutuan hari ini.
![]()
Tambah beliau, langkah berkenaan diambil bagi memberikan laluan sepenuhnya kepada proses siasatan polis serta siasatan dalaman parti tanpa sebarang gangguan.

Azman berkata, Biro Politik PKR turut mengingatkan semua ahli dan wakil parti bahawa kedudukan sebagai wakil penduduk adalah amanah rakyat yang perlu dilaksanakan dengan penuh integriti.

Artikel lain: Tular video ahli MPP didakwa kutip wang perlindungan: “You pau, you out!” -Hannah Yeoh
Dalam pada itu, Biro Politik menyarankan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya terus memantau aktiviti pusat urut di kawasan Wangsa Maju dengan lebih teliti bagi memastikan tiada pelanggaran peraturan, undang-undang atau syarat lesen premis berlaku.
Terdahulu, tular melalui media sosial satu video memaparkan dua individu, yang didakwa meminta wang perlindungan daripada sebuah premis perniagaan dipercayai di ibu negara.
: Facebook Azman Abidin