Timbalan Ketua PKR Maran, Sembilan AJK Cabang Nafi Akan Keluar Parti Untuk Bersama Rafizi, Tetap Setia Dengan Perjuangan Keadilan

by Oh! Semput


5
SHARES
70
VIEWS
Posted on 30 May 2026 03:02:03

MARAN: Timbalan Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Maran, Halias Abdul Aziz menafikan dia akan melepaskan jawatan dan keluar parti itu susulan kehadirannya ke hadir ke program Parti Bersama Malaysia (PBM) baru-baru ini.

Beliau mengulas perkara itu susulan ia dibangkitkan oleh Ketua Cabang itu, Michael Sia pada sidang akhbar sempena Mesyuarat Penubuhan Jentera Pilihan Raya Cabang (JPRC) PRU16 di sini seperti yang dilaporkan oleh  Sinar Harian.

Michael meluahkan rasa kekecewaan apabila ada pimpinan cabang itu hadir ke program Rafizi pada hari yang sama berlangsungnya Konvensyen Pakatan Harapan.

Beliau berkata, tindakan tersebut bukan sahaja menimbulkan keresahan dalam kalangan anggota akar umbi, malah telah mencalar keyakinan anggota terhadap disiplin serta kesetiaan pimpinan parti.

Cabang PKR Maran juga dakwa Micheal tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pimpinan yang gagal menunjukkan kesetiaan, disiplin dan komitmen yang jelas kepada perjuangan parti.

Sehubungan itu, beliau dengan tegas mendesak mana-mana pimpinan yang tidak lagi bersama perjuangan dan hala tuju parti supaya melepaskan jawatan mereka secara terhormat.

Mengulas lanjut, Halias menegaskan beliau tidak sesekali akan meninggalkan PKR biar pun didesak berbuat demikian. Beliau menyerahkan perkara itu kepada Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr. Hajah Fuziah binti Salleh untuk tindakan selanjutnya.

"Saya sudah berhubung dengan Fuziah dan menyatakan sebab kehadiran saya ke program Rafizi pada hari yang sama Konvensyen Pakatan Harapan di Johor Bahru. Saya menjalankan kerja NGO sekarang tapi akan tetap bersama PKR.

"Biarlah hanya tinggal kumpulan saya dalam PKR, namun kesetiaan saya bersama parti tetap akan dipertahankan. Selama ini susah senang saya berjuang dalam parti, mana mungkin bila PKR sudah jadi kerajaan saya mahu letakkan jawatan dan berundur," dakwa beliau.

Halias turut memamklumkan beliau tidak tahu menahu tentang Konvensyen Pakatan Harapan pada hari yang sama dia diajak ke program Parti Bersama Malaysia (PBM) di Petaling Jaya. 

"Saya tidak tahu apa motif program Rafizi, kerana ketika itu beliau masih bersama PKR lagi. Saya diajak ke sana oleh Hj Zuraidi (yang baru umum masuk Bersama). Kehadiran saya hanya untuk memantau dan mengetahui apa yang Rafizi akan umumkan mengenai hala tuju politik beliau. Mungkin juga dia akan terus kekal dalam PKR atau sebaliknya.

"Namun bila dia umum keluar parti, letak jawatan Ahli Parlimen Pandan dan akan bergerak dengan parti Bersama, maka saya tidak bersetuju keputusan tersebut. Malah, saya tidak pernah nyatakan untuk bersama dengan Rafizi.

"Saya sendiri tidak yakin dengan parti yang beliau bawa, kerana sebelum ini Azmin Ali dan Ezam Mohd Nor pernah bertindak menyertai parti lain selepas tinggalkan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Namun nasib mereka tidak ke mana, bukan mudah untuk bergerak dengan parti baru dan perlu ambil masa yang lama untuk yakinkan rakyat," dakwa Halias yang juga popular dengan gelaran "Pak Awang' di Maran.

Halias turut menegaskan, beliau bersama sembilan orang ahli jawatan kuasa PKR Maran tetap akan setia bersama parti itu.

"Kami dilantik dalam pemilihan yang demokrasi. Tidak mungkin kami sanggup khianat dan tinggalkan parti semudah itu?.

"Kami cuma bermasalah dengan Ketua Cabang bukan parti. Kami seolah-olah dipinggirkan dalam apa jua program parti mutakhir ini. Langsung tidak dimaklumkan.

"Mereka wujudkan group WhatsApp baru dan melantik AJK (lantikan) yang baru gantikan kami untuk jalankan tugas parti. Sebab itu banyak maklumat program parti tidak sampai. 

"Ditambah lagi dengan orang seperti saya yang sibuk dengan urusan harian dan perniagaan. Mendesak kami keluar parti tidak akan selesaikan masalah," tambah Halias lagi. 

Sementara itu, beliau juga berharap agar apa yang berlaku di Cabang Maran dapat diberi perhatian sewajarnya oleh pucuk pimpinan parti baik di peringkat negeri, mahu pun pusat. #PahangDaily

http://www.pahangdaily.blogspot.com

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts