MPT Terus Pertahankan Polisi Baharu Terminal

by Oh! Semput


6
SHARES
77
VIEWS
Posted on 16 Dec 2016 08:00:21


Alijus Sipil

Alijus Sipil.. MPT Tidak akan tunduk terhadap sebarang tekanan

TAWAU: Pihak Berkuasa Tawau tidak akan tunduk kepada mana-mana tekanan pihak tertentu yang mahu polisi baharu di Terminal Feri Tawau dirombak semula.

Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Alijus Sipil ketika dihubungi berkata, pihaknya akan mempertahankan peraturan baharu yang telah ditetapkan di terminal itu pada masa kini.

Namun katanya, keputusan muktamad mengenai isu tersebut yang turut mendapat liputan meluas dari media tempatan dan negara jiran itu akan diputuskan pada mesyuarat yang akan diadakan pada 20 Disember ini.

(Baca juga:  Teminal Feri Tawau Baharu Perlu Patuhi SOP)

“Kita akan mengadakan mesyuarat pada 20 Disember ini jadi sebarang penyelesaian atau keputusan baharu akan diputuskan pada mesyuarat ini, namun pada masa kini tidak akan tunduk kepada tekanan dari pihak tertentu,’’ katanya.

Terdahulu tinjauan New Sabah Times di terminal feri berkenaan kira-kira jam 2 petang kelmarin mendapati suasana terminal sepi tanpa sebarang operasi feri.

Difahamkan ketidaklancaran operasi feri dari negara jiran Indonesia yang enggan masuk ke Terminal Feri Tawau telah dilapor sejak hari kedua terminal itu beroperasi pada 5 Disember lepas.

Menurut pekerja di terminal itu hanya terdapat satu feri beroperasi masuk ke terminal berkenaan dari Tarakan, Indonesia pada Selasa dan tidak ada operasi feri sejak dua hari lepas keluar masuk ke Nunukan, Indonesia.

Dalam pada itu laporan media dari negara jiran melaporkan pemilik feri Indonesia menuntut MPT mengurangkan caj bayaran dari RM15 ke RM10 dan pembayaran bagasi yang dikenakan sebanyak RM1.30 per kilo dihapuskan untuk melancarkan operasi.

Sementara itu seorang penumpang yang terkandas ekoran ketiadaan feri beroperasi, Yuliana Leros, 36, berkata dia dalam perjalanan mahu pulang ke kampung halaman di Nunukan, Indonesia.

“Saya telah datang ke sini sejak jam 10 pagi namun difahamkan tiada feri beroperasi, hal seperti ini tidak pernah berlaku walaupun saya sering ulang alik ke sini setiap bulan,’’ katanya.

Sehubungan itu beliau yang kesal dengan tindakan pengusaha feri yang enggan beroperasi mahu isu ini diselesaikan dengan kadar segera.

Teriminal Feri Tawau

Teriminal Feri Tawau

“Memang jelas sangat menyusahkan sebab kita ada yang memakai pas lawatan, jadi kalau tidak sempat pulang pada tarikh ditetapkan ia akan menjadi masalah, soal kenaikan tambang kita tidak bermasalah kerana kawasan ini selesa,’’ katanya.

Maria Magdalena, 45, pula ketiadaan operasi feri menyebabkan anaknya yang berusia 17 tahun dan berhasrat untuk bercuti bersamanya tidak kunjung tiba dari masa yang dijadualkan.

Berita Terdahulu: 700 Penumpang Terkandas di Terminal Feri Tawau

“Sepatutnya dia sudah sampai jam 11 tadi tapi sampai sekarang kelibat feri dari Tarakan, Indonesia tidak kelihatan, saya risau keadaan dia di sana sebab itu saya masih menunggu dan berharap agar ada feri yang masuk ke sini,’’ katanya.

Bagi Minah Said, 45, pula yang ingin pulang ke Nunukan, Indonesia terpaksa mencari hotel untuk menginap bersama keluarganya di daerah ini.

“Kami baru sampai dari Kota Kinabalu tetapi difahamkan tiada operasi feri, sudah tidak ada keluarga tinggal di sini, itu yang terpaksa mencari rumah penginapan,’’ katanya yang turut kesal dengan kejadian itu.


LIKE Kami Sekarang
Untuk Terus Mengikuti Berita Pantas

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts