by Oh! Semput
KUANTAN: Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menegaskan tidak akan berkompromi dalam sebarang cubaan mengganggu gugat keharmonian di negeri ini, khususnya melalui isu agama, kaum dan institusi diraja (3R).
Baginda bertitah, sebarang tindakan yang sengaja menimbulkan kebencian antara kaum dan agama adalah sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali.
“Justeru, saya mahu isu-isu 3R ini dihentikan. Semua pihak tanpa mengira latar belakang hendaklah bertanggungjawab dalam setiap tindakan serta menjunjung tinggi nilai hormat, toleransi dan undang-undang.
“Di samping itu, saya mahu menasihatkan agar sebarang isu berkaitan pembinaan rumah ibadat, sama ada di atas tanah kerajaan mahupun tanah persendirian hendaklah mematuhi sepenuhnya lunas undang-undang serta peraturan yang telah ditetapkan.
“Keharmonian rakyat harus terpelihara dan tidak menjadi punca kepada sebarang persengketaan antara kaum dan agama. Janganlah bertindak ikut emosi dan tidak ada sesiapa yang boleh mendahului undang-undang dalam menangani perkara-perkara yang boleh menggugat keamanan dan kestabilan negeri,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Majlis Perasmian Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini. Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Tengku Hassanal bertitah, menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, semua pihak disaran tidak memainkan isu yang boleh menggugat perpaduan, sebaliknya mengamalkan kematangan dalam berpolitik.
Titah baginda, pihak pembangkang perlu berperanan sebagai semak dan imbang secara konstruktif, manakala pihak kerajaan pula hendaklah memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara tanpa ada yang tercicir.
Selain itu, Tengku Mahkota Pahang mahu setiap wakil rakyat yang diberi mandat, melunaskan tanggungjawab dan amanah dengan penuh dedikasi dan berintegriti.
“Bukannya tunjuk muka menjelang pilihan raya sahaja. Rajinkan diri turun naik ke jabatan kerajaan dan pihak berkuasa tempatan untuk memastikan segala masalah rakyat dapat diselesaikan dengan cepat, cekap dan berkesan.
“Jangan sehingga masalah longkang sekolah, anjing liar, benteng pecah, tebang pokok juga sampai kepada saya. Selesaikan dengan segera. Kalau perlu, turun naik jabatan dan agensi, buatlah kerana Yang Berhormat semua adalah wakil yang dipilih oleh rakyat.
“Bekerja bersungguh-sungguh. Jangan tunggu tahun terakhir pilihan raya baru nak tunjuk muka, baru nak buat itu dan ini,” titah baginda. #BuletinTV