by Oh! Semput
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan 12 inisiatif utama sempena Hari Guru yang memberi fokus kepada kebajikan serta pembangunan profesional warga pendidik termasuk pemansuhan sistem perekodan kokurikulum secara manual bagi mengurangkan beban tugas guru.
Memetik laporan daripada Bernama, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menyatakan langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan KPM dalam memperkasa profesion keguruan selain meningkatkan kecekapan pengurusan sekolah.

Menurut beliau, pihak sekolah turut diberikan autonomi untuk menguruskan perekodan sebelum maklumat kokurikulum murid dimasukkan ke dalam Sistem Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).

Dalam perkembangan sama, Fadhlina berkata antara inisiatif diumumkan ialah pensijilan Google Certified Educator (GCE) Tahap 1 dan Tahap 2 diteruskan secara percuma kepada semua guru bagi memperkukuh literasi digital.
Menurutnya, Malaysia kini diiktiraf sebagai negara nombor satu dunia bagi jumlah pendidik bertauliah Google dengan 60,000 pemegang sijil Tahap 1 dan 33,000 pemegang sijil Tahap 2.
Beliau turut memaklumkan KPM memperkenalkan Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) khas kepada guru di kawasan pedalaman termasuk sekolah rintangan di bawah Program Khas seperti sekolah dalam hospital, sekolah terapung dan sekolah pedalaman di kawasan P1, P2 serta P3.
Selain itu, Biasiswa Perguruan Persekutuan turut diperluas kepada pemimpin sekolah seperti guru besar, pengetua dan penolong kanan untuk melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana.
Bagi memperkasa pembelajaran digital, KPM turut memperkenalkan Projek Network Offline Digital Environment (NODE) yang membolehkan sesi pengajaran dan pembelajaran diteruskan tanpa capaian internet khususnya di kawasan pedalaman.
