by Oh! Semput
Kementerian Kewangan (MoF) menarik balik kelayakan seorang lelaki untuk menerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) selepas siasatan mendapati individu tersebut memiliki enam buah rumah sewa. Tindakan itu diambil susulan pendedahan tular di media sosial yang menunjukkan lelaki berkenaan mengaku masih menerima bantuan kerajaan meskipun memiliki aset hartanah yang jelas tidak selari dengan syarat kelayakan bantuan bersasar.
Menurut MoF, semakan melalui rekod pemilikan hartanah dalam sistem e-Duti Setem LHDN mengesahkan bahawa kesemua enam rumah tersebut didaftarkan atas nama lelaki terbabit dan pasangannya. Berdasarkan maklumat itu, kelulusan STR dan SARA ditarik balik serta-merta. Selain itu, individu berkenaan turut disiasat di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 kerana disyaki gagal mengisytiharkan pendapatan hasil sewaan rumah yang dimilikinya.
Kerajaan menegaskan bahawa sebarang pemohon atau penerima bantuan yang memberikan maklumat tidak tepat, menyembunyikan aset atau tidak mematuhi syarat kelayakan boleh dikenakan tindakan termasuk pembatalan bantuan. Program STR dan SARA direka khusus untuk membantu rakyat yang benar-benar layak, dan kerajaan bertekad memastikan bantuan tersebut tidak disalahgunakan oleh pihak berkepentingan.
MoF Tarik Balik Kelayakan STR dan SARA Lelaki Miliki Enam Rumah Sewa #1 The News Malaysia.