Taman Negeri Rompin Destinasi Ekopelancongan Utama Negara, Tawarkan Keindahan Hutan Hujan Tropika Yang Masih Terpelihara

by Oh! Semput


10
SHARES
132
VIEWS
Posted on 03 Apr 2026 23:31:56

ROMPIN: Taman Negeri Rompin terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara destinasi ekopelancongan utama negara yang menawarkan keindahan hutan hujan tropika yang masih terpelihara.

Terletak di sempadan negeri Pahang dan Johor, kawasan ini merangkumi sebahagian daripada Hutan Simpan Endau-Rompin yang terkenal dengan kepelbagaian biodiversiti yang unik.

Dengan keluasan lebih 80,000 hektar di bahagian Pahang, Taman Negeri Rompin menjadi habitat kepada pelbagai spesies flora dan fauna yang jarang ditemui, termasuk pokok-pokok purba, tumbuhan ubatan serta haiwan liar seperti gajah, harimau dan tapir, sekali gus menjadikannya sebagai lokasi penting bagi penyelidikan saintifik serta pemuliharaan alam sekitar.

Selain nilai biodiversiti yang tinggi, Taman Negeri ini turut menawarkan pelbagai tarikan semula jadi yang memukau pengunjung.

Antaranya termasuk Air Terjun Mahkota yang jernih, sungai dan jeram yang mengalir deras serta formasi batuan unik yang terbentuk sejak 130 juta tahun lalu.

Aktiviti seperti merentas hutan (jungle trekking), berkhemah dan pemerhatian hidupan liar menjadi antara pilihan utama pelancong yang ingin merasai pengalaman mendekati alam semula jadi.

Menurut Pegawai Hutan Daerah Rompin Firdaus Zulnaim Johari, usaha pemuliharaan yang berterusan menjadi keutamaan dalam memastikan khazanah alam ini terus terpelihara untuk generasi akan datang.

“Pihak berkuasa turut bekerjasama dengan komuniti Orang Asli setempat dalam mempromosikan ekopelancongan secara lestari, selain meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menjaga alam sekitar”, katanya ketika ditemui Malaysia Aktif, baru-baru ini.

Pengunjung juga berpeluang merasai pengalaman unik bersama komuniti Orang Asli, termasuk mempelajari cara hidup tradisional serta pengetahuan mereka mengenai hutan. Ini secara tidak langsung membantu meningkatkan ekonomi komuniti setempat melalui aktiviti pelancongan.

“Taman Negeri Rompin bukan sahaja menjadi destinasi pelancongan, tetapi juga pusat pendidikan alam sekitar yang penting.

“Pengunjung berpeluang mempelajari tentang ekosistem hutan hujan tropika serta kepentingan pemuliharaan biodiversiti,” katanya.

Menurutnya lagi, kerajaan negeri Pahang turut memberi perhatian terhadap pembangunan infrastruktur asas di kawasan tersebut bagi meningkatkan keselesaan pelancong tanpa menjejaskan kelestarian alam.

Antara kemudahan yang disediakan termasuk laluan yang lebih selamat, kawasan perkhemahan serta pusat informasi pelawat. #MalaysiaAktif

http://www.pahangdaily.blogspot.com

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts