by Oh! Semput
Pendakwah bebas, Syed Mohd Bakri Syed Ishak tampil memberi teguran terhadap perkongsian usahawan sensasi, Hasmiza Othman mengenai kelebihan Surah Al-Fill yang didakwa boleh membantu membuka pintu rezeki.
Menerusi satu hantaran di Instagram, Syed atau lebih dikenali sebagai PU Syed menyatakan tiada dalil yang menyokong dakwaan bahawa surah tersebut boleh menjadi penarik rezeki sekiranya diamalkan.
Katanya, perkara seperti itu boleh menimbulkan salah faham sekiranya disebarkan tanpa sandaran yang tepat.
Dalam pada itu, PU Syed turut meminta agar Vida menurunkan video tersebut bagi mengelakkan kekeliruan terus berlaku dalam kalangan orang ramai.
Dia juga memohon maaf kerana terpaksa menegur secara terbuka memandangkan video tersebut sudah mendapat perhatian ramai di media sosial.

Pada masa sama, Syed menjelaskan bahawa antara amalan yang dianjurkan untuk memohon rezeki daripada Allah SWT adalah dengan memperbanyakkan istighfar.

Terdahulu, tular di TikTok memperlihatkan Vida membacakan sepotong ayat al-Quran dari Surah al-Fiil dan mendakwa ia begitu mujarab untuk membuatkan rezeki bertambah luas khususnya kepada mereka yang bergelar sebagai usahawan.
Perkongsian tersebut telah mendapat perhatian dan ramai yang menegur usahawan berkenaan supaya tidak menafsir ayat al-Quran secara semberono tanpa memberikan makna yang sebenar, malah ada juga memperbetulkan bacaan ayat suci terbabit.