Dua Suspek Pecah Sembilan Tabung Derma di Dua Masjid Felda Triang

by Oh! Semput


2
SHARES
30
VIEWS
Posted on 13 Jun 2026 08:01:46

Polis sedang mengesan dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian pecah tabung di dua masjid di Felda Triang, dekat sini, yang mengakibatkan kehilangan wang derma dianggarkan berjumlah RM2,500.

Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir berkata, pihaknya menerima dua laporan berasingan daripada imam Masjid Felda Triang 1 dan Masjid Felda Triang 3 berhubung kejadian yang dipercayai berlaku pada awal pagi semalam.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati lima tabung di Masjid Felda Triang 1 telah diumpil, ditebuk dan mangga keselamatannya dipecahkan sebelum wang di dalamnya dilarikan.

“Kejadian disedari kira-kira jam 5.30 pagi ketika imam tiba di masjid untuk menjalankan rutin harian. Kali terakhir kutipan wang tabung dilakukan pada 5 Jun lalu dan jumlah wang yang dipercayai hilang dianggarkan sekitar RM1,500,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan di lokasi mendapati sistem kamera litar tertutup (CCTV) masjid berkenaan tidak dapat membantu siasatan kerana rosak akibat sambaran petir yang berlaku sebelum ini.

Sementara itu, satu lagi kejadian dilaporkan berlaku di Masjid Felda Triang 3 apabila empat daripada enam tabung yang ditempatkan di masjid berkenaan didapati telah dipecahkan dan wang derma di dalamnya dicuri.

Menurut Zulkiflee, pengurusan masjid memaklumkan kutipan terakhir dilakukan pada 6 Jun lalu dengan jumlah wang dalam tabung yang hilang dianggarkan sekitar RM1,000.

“Hasil semakan rakaman CCTV di masjid itu berjaya merakam kelibat dua lelaki yang menaiki motosikal jenis Honda EX5 berada di kawasan masjid sekitar jam 4.50 pagi.

“Seorang daripada suspek dilihat memakai topi keledar dan sarung tangan sebelum memasuki ruang masjid dan memecahkan tabung yang terdapat di dalam bangunan tersebut,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan persamaan modus operandi serta tempoh kejadian yang hampir sama, polis percaya kedua-dua kes dilakukan oleh individu yang sama.

Menurutnya, ketika kejadian berlaku, kedua-dua masjid tidak berkunci bagi membolehkan penduduk setempat keluar masuk untuk menunaikan ibadah pada bila-bila masa.

Polis kini sedang giat mengesan identiti kedua-dua suspek dan meneliti rakaman CCTV serta maklumat lain yang diperoleh bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran bagi memastikan suspek dapat dikesan dan dibawa ke muka pengadilan.

Dua Suspek Pecah Sembilan Tabung Derma di Dua Masjid Felda Triang first appeared on #1 The News Malaysia.

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts