by Oh! Semput
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima menghadap Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil bagi menyembah maklum laporan terkini berkaitan penurunan akaun palsu yang menggunakan nama kerabat diraja bagi tempoh Januari hingga April 2026.
Perkara itu dimaklumkan menerusi kenyataan rasmi Selangor Royal Office apabila berkongsi gambar sewaktu pertemuan tersebut.
#
Dalam pada itu, Fahmi turut menyatakan dalam kenyataan bahawa beliau telah melakukan sembah maklum kepada baginda bagi menyampaikan hasil pemantauan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta aduan awam yang mendapati sebanyak 15,296 akaun palsu melibatkan 26 kerabat diraja telah dikenal pasti.
Ia termasuklah akaun yang menggunakan nama Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri Selangor.
Ujarnya, tindakan segera telah diambil apabila penyedia platform media sosial menurunkan sebanyak 14,750 akaun yang terlibat.

Dalam sesi menghadap tersebut, Sultan Selangor turut disembah maklum mengenai pelaksanaan sistem pengesahan identiti secara elektronik atau Electronic Know Your Customer (e-KYC) sebagai langkah memperkukuh perlindungan pengguna dalam persekitaran digital, khususnya melibatkan kanak-kanak dan keluarga.
Fahmi turut menzahirkan penghargaan atas pandangan, titah dan nasihat baginda berhubung isu semasa termasuk penyalahgunaan media sosial serta isu 3R (agama, kaum dan institusi diraja) yang semakin membimbangkan kebelakangan ini.
: Facebook Selangor Royal Office, Fahmi Fadzil