by Oh! Semput
Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan dukacita dan kekecewaan mendalam berikutan tragedi membabitkan lima sekeluarga yang ditemui maut di kawasan perumahan Cerating Damai, Kuantan pada Selasa.
Menerusi hantaran di Facebook Kesultanan Pahang, baginda bertitah, kejadian seumpama itu tidak seharusnya berlaku dan amat mengejutkan, khususnya apabila ia melibatkan sebuah keluarga.

Baginda turut menyeru rakyat supaya sentiasa peka terhadap perubahan tingkah laku individu di sekeliling mereka serta tidak memandang ringan sebarang tanda yang boleh membawa kepada kejadian tidak diingini.
Al-Sultan Abdullah turut mengajak seluruh rakyat untuk bersama-sama menghadiahkan bacaan al-Fatihah kepada mangsa yang terkorban dalam insiden berkenaan.

Terdahulu, kejadian kira-kira jam 7 pagi itu melibatkan dua kanak-kanak perempuan berusia 3 dan 4 tahun serta ibu bapa mereka berusia 28 dan 32 tahun, yang ditemui di dalam bilik tidur, manakala seorang wanita berusia 55 tahun dijumpai maut di ruang dapur.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman memaklumkan lelaki berusia 32 tahun itu dipercayai mencederakan isteri, ibu dan dua anaknya menggunakan senjata tajam disyaki pisau sebelum turut mencederakan diri sendiri dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Artikel lain: Sultan Pahang tegur pihak ‘memakai seragam’ -“Rasuah itu bukan rezeki, ia najis”
Susulan daripada itu, baginda menekankan bahawa kejadian ini harus menjadi pengajaran kepada masyarakat untuk sentiasa berhati-hati dan memerhati sekeliling serta tidak memandang ringan tingkah laku individu yang mencurigakan, bagi mencegah insiden seumpama itu daripada berulang.
: Facebook Kesultanan Pahang