by Oh! Semput
TEMERLOH: Suami isteri warga emas maut, manakala empat lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 134 Jalan Kuantan-Kuala Lumpur di disini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron, berkata dalam kejadian 5.25 petang itu, pemandu Perodua Kancil, Zulkifli Md Yusof, 72, meninggal dunia di tempat kejadian selepas tersepit dalam kenderaan.
"Isterinya, Radzuan Mohamad, 67, yang juga penumpang hadapan kenderaan sama, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh kira-kira jam 8.55 malam," katanya melalui kenyataan hari ini.
Beliau berkata kemalangan turut menyebabkan empat lagi mangsa cedera termasuk seorang remaja lelaki berusia 13 tahun yang juga cucu pasangan berkenaan, yang kini kritikal dan dirawat di zon merah hospital sama.
Beliau berkata tiga anggota tentera berusia antara 22 hingga 27 tahun yang menaiki Perodua Myvi, mengalami kecederaan dan kini sedang menerima rawatan di zon kuning Hospital Temerloh.
Mohd Nasyim berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kenderaan dipandu lelaki berusia 22 tahun itu yang dalam perjalanan dari arah Kuantan ke Kuala Lumpur terbabas sebelum memasuki laluan bertentangan dan merempuh kenderaan dinaiki pasangan warga emas terbabit.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. #BeritaHarian