by Oh! Semput
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membuka kertas siasatan terhadap seorang individu yang disyaki menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan pembekalan diesel ke Filipina, susulan penularan dakwaan tersebut di media sosial.
Dalam kenyataan rasmi, MCMC menjelaskan bahawa diesel yang diperkatakan bukan milik Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) mahupun kerajaan Malaysia, sebaliknya dimiliki oleh syarikat perdagangan tenaga antarabangsa, Vitol.
Sehubungan itu, individu terlibat telah dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan, manakala peranti komunikasi yang digunakan turut disita sebagai sebahagian daripada proses pengumpulan bukti.
Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
MCMC menegaskan pihaknya memandang serius sebarang penyalahgunaan platform digital untuk menyebarkan maklumat tidak tepat yang berpotensi mengelirukan orang ramai serta menjejaskan ketenteraman awam, dan memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang.
MCMC Buka Siasatan Kes Berita Palsu Diesel Ke Filipina, Individu Dipanggil Beri Keterangan first appeared on #1 The News Malaysia.