Seramai 100 Peserta Bakal Beraksi Di Kejohanan Sirkit Golf Piala Sultan Pahang 2026 Di Rompin Dan Pekan Pada 27 Jun-25 Julai Ini

by Oh! Semput


7
SHARES
91
VIEWS
Posted on 08 May 2026 13:32:12

GENTING HIGHLAND: Seramai 100 peserta bakal beraksi pada Kejohanan Sirkit Golf Piala Sultan Pahang 2026 yang memasuki edisi kedua penganjurannya sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Pahang ke-67.

Pengerusi Kejohanan Piala Sultan Pahang 2026, Datuk Seri Shafik Fauzan Sharif berkata penyertaan peserta dihadkan kepada 100 orang selepas mengambil kira faktor cuaca dan keselesaan pemain sepanjang kejohanan berlangsung.

“Penganjuran ini mendapat kerjasama Majlis Sukan Pahang (MSP) yang bertujuan mencungkil bakat baharu golf selain mempromosikan sukan pelancongan di negeri Pahang.

“Peserta terdiri daripada 50 lelaki dan 50 wanita dengan yuran penyertaan bermula RM3,000 bagi kategori lelaki dan RM1,500 bagi kategori wanita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Kejohanan Sirkit Golf Piala Sultan Pahang 2026 yang disempurnakan Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di sini hari ini.

Sementara itu, Datuk Seri Shafik berkata penganjuran kejohanan tersebut mencerminkan komitmen pihak istana dalam memperkasa pembangunan sukan golf di Pahang.

“Sesungguhnya baginda Sultan Pahang (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) memandang serius perkembangan sukan golf di Pahang, bukan sahaja untuk pembangunan pemain, malah memastikan padang golf diurus dan disenggara dengan baik,” katanya.

Kejohanan pembukaan dijadual berlangsung di Villea Rompin Resort and Golf pada 27 Jun, diikuti pusingan kedua di Kelab Golf Diraja Pekan pada 25 Julai.

Pusingan ketiga pula akan diadakan di Kelab Golf Diraja Pahang, Kuantan pada 29 Ogos, manakala kejohanan penutup berlangsung di Resorts World Awana Genting pada 5 September.

Hadiah menarik termasuk piala dan barangan bernilai lebih RM150,000 disediakan, termasuk Piala Cabaran Sultan Pahang yang berprestij.#BeritaRTM

http://www.pahangdaily.blogspot.com

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts