by Oh! Semput
Bekas Ketua Pemuda Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), Khairy Jamaluddin dilaporkan telah mengemukakan surat rayuan kepada Presiden parti itu, Ahmad Zahid Hamidi, bagi memohon untuk menyertai semula UMNO.

Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Zahid yang juga Presiden UMNO menerusi satu kenyataan selepas menerima kunjungan Khairy yang menyerahkan surat rayuan tersebut.
Menurut Zahid, beliau bersyukur menerima kunjungan berkenaan yang berlaku dalam suasana penuh keberkatan pada malam ke-26 Ramadan.
Zahid menjelaskan, permohonan itu akan dibawa untuk penelitian oleh Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa sebelum sebarang keputusan dibuat.

Menurutnya, usaha melalui gagasan Rumah Bangsa bertujuan menghimpunkan semula ahli yang pernah berpisah serta mengukuhkan kembali saf perjuangan parti.
Beliau turut menegaskan bahawa dalam perjalanan perjuangan politik, keutamaan harus diberikan kepada usaha penyatuan berbanding terus membiarkan perpecahan berlaku.

Artikel lain: Inisiatif Rumah Bangsa: KJ mahu kembali ke UMNO, sedia draf surat permohonan
Pada Januari 2023, UMNO memecat Khairy, selain menggantung keahlian bekas Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, dan bekas Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan.
Turut digantung keahlian ialah bekas Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang.
: Facebook Zahid Hamidi