by Oh! Semput
KUALA LUMPUR: Seorang pemandu maut manakala isterinya cedera selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandu lelaki itu hilang kawalan lalu melanggar tiang keselamatan batu nosing berhampiran Plaza Tol Bentong di Kilometer 61.7 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, semalam.
Ketua Polis Daerah Bentong, Supritendan Zaiham Mohd Kahar berkata, semasa kejadian kenderaan tersebut dipandu dari arah Raub menuju ke Kuala Lumpur .
Menurutnya, pelanggaran tersebut menyebabkan kenderaan berkenaan terbalik ke sebelah sisi kanan bahagian pemandu.
“Dalam kejadian itu, mangsa Mohd Sapri Aziz, 65, cedera parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Manakala penumpang wanita yang merupakan isteri mangsa berusia 61 tahun mengalami cedera ringan di bahagian kepala dan telah dibawa ke Hospital Bentong bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kes disiasat di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Zaiham berkata, siasatan lanjut masih dijalankan serta usaha mengesan saksi-saksi kejadian termasuk rakaman kamera litar tertutup (cctv) di kawasan Plaza Tol Bentong.
Zaiham meminta orang ramai yang menyaksikan atau mempunyai maklumat kejadian tersebut diminta tampil memberi kerjasama bagi membantu siasatan.
Beliau turut menasihatkan semua pengguna jalan raya berhati-hati Ketika memandu. #MalaysiaGazette