by Oh! Semput
KUANTAN: Seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera apabila kereta yang dinaiki mereka terbabas ke bahu jalan di Kolej Poly Tech Mara Kuantan, Jalan Gambang, Kuantan, awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kemalangan itu pada pukul 5.06 pagi.
Sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taman Tas bersama sebuah jentera dikerahkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan.
Setibanya di lokasi, pihaknya mendapati empat mangsa terlibat dalam kemalangan tersebut.
“Seorang mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Manakala dua lelaki mengalami kecederaan, termasuk patah tangan kiri dan kecederaan pada kaki, sementara seorang wanita dilaporkan selamat. Kesemua mangsa berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan menyelamat,” katanya.
Mangsa yang cedera diserahkan kepada pihak KKM, manakala mangsa maut diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. #BeritaRTM