by Oh! Semput
BENTONG: Seorang anggota tentera dilaporkan koma manakala enam lagi rakan setugasnya cedera selepas dipercayai dipukul dalam kejadian di dalam Kem Tentera Batalion 25 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada bapa salah seorang mangsa pada jam 8.45 pagi, Selasa.
Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 8 malam di kawasan kem berkenaan.
"Siasatan awal mendapati seorang suspek iaitu anggota tentera berpangkat koperal dipercayai terbabit dalam kejadian dengan memukul, menumbuk dan menendang mangsa di beberapa bahagian badan.
"Hasil siasatan juga mendapati kesemua mangsa berusia antara 19 hingga 22 tahun itu merupakan anggota tentera dan bukannya pelatih seperti yang tular sebelum ini," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau menjelaskan, seorang mangsa berusia 24 tahun dilaporkan parah dan kini masih tidak sedarkan diri serta menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh.
"Mangsa dilaporkan masih tidak sedarkan diri serta memerlukan bantuan pernafasan, manakala mangsa lain telah dirujuk ke Hospital Bentong untuk pemeriksaan lanjut," jelasnya.
Zaiham berkata, susulan itu, pihaknya menahan anggota berpangkat koperal yang berusia 37 tahun jam 2.30 petang, pada Selasa bagi membantu siasatan.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan perintah reman terhadap suspek diperoleh selama empat hari bermula 1 hingga 4 April ini.
“Orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan polis akan menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian,” katanya.#SinarHarian