by Oh! Semput
Polis telah merakam keterangan Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah serta merampas senjata api dan peluru berhubung satu video tular di media sosial yang memaparkan insiden dipercayai beliau menembak seekor lembu yang sedang mengamuk.
Memetik laporan daripada Bernama, Ketua Polis Daerah Kangar, ACP Yusharifuddin Mohd Yusop berkata pihaknya menerima satu laporan polis daripada orang awam pada jam 4.51 petang semalam berkaitan rakaman video berdurasi 38 saat itu, yang memaparkan insiden di Dataran Lok 9, Kuala Perlis.

Menurut beliau, berdasarkan keterangan Abu Bakar, tindakan itu dipercayai diambil ketika seekor lembu mengamuk yang dikatakan mengancam petugas serta orang awam yang berada di Program Ibadah Korban Perdana Kuala Perlis pada waktu kejadian.

Beliau turut memaklumkan kes itu disiasat di bawah Seksyen 39 Akta Senjata 1960 (Akta 206), yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda tidak melebihi RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Video berkenaan yang tular di media sosial sejak semalam turut mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan orang ramai, dengan rata-rata netizen membincangkan tindakan yang dirakam dalam kejadian tersebut.