by Oh! Semput

PEMIMPIN Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz. – Foto EPA
RIYADH: Pemimpin Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz, melantik Ali Nasser al-Ghafis sebagai Menteri Buruh baharu menggantikan Mufrej al-Haqbani, yang dipecat pada Jumaat lalu.
Ghafis adalah Ketua Teknikal dan Latihan Vokasional Corporation, rangkaian kolej yang ditubuhkan untuk melatih generasi muda Arab Saudi dalam perdagangan.
Program yang telah lama wujud itu dianggap tidak berkesan tetapi menerima nafas baharu ketika di bawah pentadbiran bekas Menteri Buruh Adel Fakieh, yang kini menjadi tokoh utama dalam inisiatif kerajaan untuk mengubah sumber ekonomi negara yang selama ini bergantung kepada hasil minyak.
Dekri diraja yang disiarkan televisyen negara itu juga mengumumkan rombakan badan agama tertinggi iaitu Majlis Ulama Kanan dan Majlis Shura, yang menjadi penasihat kerajaan.
Raja Salman turut memecat Setiausaha Agung Majlis Shura, Mohammed Al Amro dan menggantikan beberapa jawatan ahli dalam majlis itu.
Perubahan itu adalah sebahagian daripada persiapan untuk melaksanakan pembaharuan yang dicadangkan dalam Wawasan 2030, bertujuan untuk mengurangkan pergantungan kepada minyak, menarik pelaburan asing dan menggalakkan keterbukaan budaya. – REUTERS
Category: Dunia