by Oh! Semput
MARAN: Kerajaan negeri Pahang menambah peruntukan bagi Inisiatif Makmur Pahang (IM Pahang) sebanyak RM84.59 juta bagi tahun ini.
Pengarah Unit Perancangan Operasi dan Data Strategik Kerajaan Pahang, Datuk Wan Salman Wan Ismail berkata peruntukan itu mencatatkan kadar kenaikan ketara sebanyak 67.37 peratus berbanding peruntukan pada tahun lalu.
“Agihan bantuan tahun ini memberikan tumpuan khusus kepada empat kluster utama di peringkat akar umbi merangkumi Kluster Pelajar, Kluster B40, Kluster Umum, dan Kluster Agama.
“Beberapa penambahbaikan serta pengenalan inisiatif baharu juga telah dilaksanakan tahun ini demi memenuhi keperluan semasa rakyat,” katanya ketika berucap pada Program Hebahan Inisiatif Pahang Peringkat Daerah Maran di Dewan Jubli Perak Maran, di sini semalam.
Beliau berkata kerajaan negeri kini giat mengumpul data yang lebih tepat dan pantas bagi memastikan bantuan benar-benar sampai kepada golongan sasar.
Kerajaan negeri katanya telah memperkemaskan portal e-Rakyat yang dilancarkan baru-baru ini bagi memastikan penilaian dan penyaluran bantuan dibuat secara adil tanpa mengira latar belakang bangsa, agama, mahupun fahaman politik. #MalaysiaAktif