by Oh! Semput

LAWAS: Ahli Parlimen Barisan Nasional ( BN) di Sarawak dan Sabah mengambil pendirian tidak menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) dibentangkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Menteri Teknologi Hijau dan Air (KETHA) Datuk Seri Panglima Dr Maximus Johnity Ongkili berkata selain Sarawak, Sabah juga menyatakan pendirian sama tidak bersetuju terhadap RUU.
Beliau berkata sistem undang-undang sedia ada tidak memerlukan sistem tambahan yang hanya menjadikan keadaan lebih kompleks dan mengelirukan.
“Pendirian kita sejajar dengan keadaan masyarakat majmuk negara ini yang berjaya dipelihara baik oleh sistem demokrasi di bawah kerajaan BN,” katanya pada perasmian Dewan Orang Ramai dan Penyerahan Sumbangan Kerajaan Pusat Institusi Keagamaan Daerah Lawas di Dewan Kampung Mission semalam.
Turut hadir Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Henry Sum Agong, Timbalan Pengarah KPDNKK Sarawak Datuk Stanley Tan, Setiausaha Politik KETHA Datuk Daniel Kinsik, Pegawai Daerah Lawas Husaini Hakim, ketua-ketua kaum dan masyarakat serta pemimpin gereja daerah Lawas.
Dr Maximus berkata, lebih RM1 juta diagihkan kerajaan BN untuk 21 gereja di daerah Lawas.
“Ini adalah janji kerajaan BN semasa PRN lalu dan ternyata kita menunaikan janji dan permintaan memberi peruntukan kepada institusi keagamaan daerah Lawas,” katanya.
Menurutnya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan pemimpin negara yang amat prihatin terhadap keperluan kedua-dua negeri Sabah dan Sarawak.
“Banyak program pembangunan mensejahterakan rakyat dilaksanakan di keduadua negeri walaupun beliau berdepan berbagai tohmahan dibawa arus perkembangan dunia siber hari ini,” ujarnya.
Beliau mahu agar institusi agama tidak dipolitikkan demi menjaga keamanan dan perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini. – Utusan Borneo, 29/11/2016