Wan Rosdy: Perikatan Nasional (PN) Hanya Menjual Persepsi, Sentimen Dan Fitnah Dalam Misi Tawan Pahang PRU-16

by Oh! Semput


7
SHARES
92
VIEWS
Posted on 20 Jan 2026 13:31:58

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) hanya menjual persepsi, sentimen dan fitnah dalam misinya menawan Pahang pada PRU-16, kata Menteri Besar, Dato' Sri DiRaja Hj Wan Rosdy Wan Ismail.

Naib Presiden UMNO itu berkata naratif berkenaan termasuk mendakwa pentadbiran semasa diterajui Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) tidak Islamik walaupun realitinya berbeza.

“Bagitahu saya apa yang tak Islamik, negeri ini beri bantuan RM750 kepada jemaah haji, wang saku kepada individu kali pertama berkahwin dan beri bantuan RM10,000 setahun kepada masjid.

“Dari sudut ekonomi pula belanjawan kita surplus, tapi pembangkang keluar kenyataan kata itu hitam (negatif) walaupun ia putih (positif),” katanya merujuk tindakan Ketua Pembangkang DUN Pahang Tuan Ibrahim Tuan Man.

“Beliau pertikai laporan Ketua Audit Negara yang mengatakan belanjawan Pahang surplus dan berbelanja ikut peruntukan.

“Tetapi beliau tak faham dan masih pertikai juga, saya kata buang masa dewan (DUN) dan elok buat kursus. Tetapi mereka bantah kata bukan tak faham tapi ketua audit negara yang tak faham,” katanya yang ditemui di tepian Perhimpunan Agung UMNO 2025 (PAU2025) baru-baru ini.

Menurut Wan Rosdy yang juga ADUN Jelai, rakyat boleh menilai sendiri kemampuan PN berdasarkan situasi terbabit.

“Biasalah jadi pembangkang keluarkan kenyataan yakinkan orang ramai dengan buat persepsi, sentimen dan fitnah.

“Tetapi dalam masa sama orang menilai kalau mereka jadi kerajaan apa nak dibuat,” katanya.

Tahun lalu, gabungan pembangkang melancarkan PN Tawan Pahang (PTP) untuk menawan Pahang.

Pada PRU-15, BN dan PN masing-masing menang 17 kerusi manakala PH memperoleh lapan DUN menyaksikan tiada parti memperoleh majoriti membentuk kerajaan Pahang.

BN kemudiannya bekerjasama dengan PH untuk menguasai DUN sekali gus menubuhkan kerajaan.

Baru-baru ini, Malaysiakini melaporkan Ketua Penerangan PN Pahang Mohd Tarmizi Yahaya berkata gabungan itu menyasarkan tambahan sekurang-kurangnya lima lagi kerusi DUN bagi mencapai hasrat membentuk kerajaan.

Difahamkan DUN berkenaan ialah Tioman, Padang Tengku, Sabai, Ketari dan Chini. #FreeMalaysiaToday

http://www.pahangdaily.blogspot.com

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts