by Oh! Semput
Mantan Exco Negeri Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew menzahirkan penghargaan terhadap keluhuran Perlembagaan serta titah DYMM Sultan Selangor yang mengingatkan ahli politik supaya kembali memahami semangat sebenar Rukun Negara dalam suasana politik yang semakin beremosi dan berpecah.
Menurut beliau dalam kenyataan di Facebook, titah Sultan Selangor agar ahli politik turun ke Dataran Selangor dua kali sebulan bukan sekadar simbolik, sebaliknya satu usaha mendidik semula pemimpin supaya kembali kepada asas pembinaan negara dan mendekati rakyat secara lebih dekat.
#
Ronnie berkata, masalah politik hari ini bukan hanya persaingan kuasa, tetapi budaya ekstrem dan saling menyerang yang semakin menjauhkan nilai asal pembentukan negara.
Beliau turut menjelaskan mesej utama titah tersebut adalah untuk mengingatkan pemimpin supaya kembali menghormati negara, Perlembagaan, kedaulatan undang-undang, institusi Raja-Raja serta rakyat secara keseluruhan.

Menurut Ronnie, kelima-lima prinsip itu tidak boleh difahami secara terpilih, sebaliknya perlu dihayati sepenuhnya sebagai asas budaya politik negara.
Beliau turut menegaskan komitmennya terhadap prinsip tersebut dengan berkongsi bahawa anaknya sendiri diberi nama “Zun Xian” yang membawa maksud menghormati Perlembagaan sebagai simbol pegangan terhadap undang-undang dan asas negara.
Dalam masa sama, Ronnie berpandangan politik era baharu tidak sepatutnya dibina atas kebencian dan perpecahan, sebaliknya perlu berlandaskan kematangan, rasional dan rasa hormat demi masa depan negara.
Beliau berharap ahli politik kembali kepada prinsip asal negara agar Malaysia dapat dibina sebagai sebuah negara yang lebih stabil, bersatu dan harmoni untuk generasi akan datang.
: Facebook Ronnie Liu Tian Khiew