Remaja Lelaki Maut, Van Dinaiki Dirempuh Kereta Terbabas

by Oh! Semput


5
SHARES
60
VIEWS
Posted on 20 May 2026 04:31:47

Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun maut dalam keadaan tragis selepas kepalanya ditembusi tiang lampu jalan dalam satu kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Losong Feri berhampiran Kampung Losong Panglima Perang, Kuala Terengganu, petang semalam.

Mangsa, Wah Han Keong disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala selepas van Nissan Vanette yang dinaikinya terlibat dalam pelanggaran dengan sebuah kereta jenis Volkswagen Golf GTI kira-kira jam 3.40 petang.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, siasatan awal mendapati kereta dipandu lelaki berusia 43 tahun itu sedang dalam perjalanan dari arah bandar Kuala Terengganu menuju ke Muzium Losong sebelum dipercayai hilang kawalan.

Menurutnya, kenderaan terbabit kemudian terbabas memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan van dipandu bapa mangsa yang ketika itu membawa anaknya untuk urusan kerja pemasangan penyaman udara.

Akibat pelanggaran kuat tersebut, sebuah tiang lampu jalan dipercayai tumbang sebelum menembusi bahagian hadapan van dan terkena kepala mangsa yang duduk di tempat penumpang hadapan.

Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala bapanya yang berusia 49 tahun hanya mengalami kecederaan ringan. Dalam masa sama, seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang dipercayai berada di dalam Volkswagen Golf GTI turut dilaporkan cedera ringan.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk tindakan lanjut dan bedah siasat.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian.

Remaja Lelaki Maut, Van Dinaiki Dirempuh Kereta Terbabas first appeared on #1 The News Malaysia.

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts