by Oh! Semput
Konsert berskala besar bakal menggegarkan ibu negara apabila kumpulan legenda Indonesia, Dewa 19, kembali ke Malaysia dengan penganjuran penuh makna bertajuk Dewa 19 – Cintaku Tertinggal di Malaysia, berlangsung pada 6 Jun 2026 di Axiata Arena Bukit Jalil.
Lebih istimewa, acara kali ini mencatat sejarah tersendiri apabila Dewa 19 tampil ditemani kumpulan rock tersohor Indonesia, Padi Reborn, sebagai penampilan khas menjadikan konsert ini pertembungan dua kuasa besar muzik yang jarang berlaku di pentas Malaysia.
Penganjur Icon Entertainment mengesahkan bahawa barisan teras Dewa 19 akan turun lengkap bersama tiga vokalis utama: Ari Lasso, Virzha, dan Marcello Tahitoe (Ello). Turut serta ialah pemain dram legenda Tyo Nugros, selain kehadiran pengasas kumpulan, Ahmad Dhani, bersama rakan pemuzik seperti Andra Ramadhan, Yuke Sampurna dan Agung Yudha.
Menurut pengasas Icon Entertainment, Iman Tang, kehadiran Dewa 19 ke Malaysia selepas persembahan terakhir mereka pada 2023 bukan sekadar mengubat rindu peminat, tetapi sebagai pengiktirafan terhadap Malaysia yang sentiasa menjadi lokasi penting dalam perjalanan seni band tersebut. Beliau menegaskan bahawa tema konsert kali ini memberi tumpuan kepada nostalgia, romansa dan rangkaian lagu hits yang telah menemani Baladewa sejak era awal Dewa 19.
Sementara itu, kehadiran Padi Reborn dianggap sebagai kejayaan besar organisasi penganjur dalam usaha menghimpunkan dua nama besar Indonesia di atas satu pentas. Dengan deretan lagu ikonik seperti Kasih Tak Sampai, Begitu Indah dan Menanti Sebuah Jawaban, Padi Reborn dijangka menambah elemen emosi yang lebih mendalam sepanjang malam konsert.
Konsep persembahan pula dijanjikan tidak bersifat extravaganza, sebaliknya menekankan mood penuh rasa yang seiring dengan tema konsert. Malah, peminat digalakkan mengenakan T-shirt band original sebagai simbol sokongan tulus terhadap kedua-dua kumpulan.
Tiket bagi konsert yang dijangka mencipta fenomena baharu ini mula dijual pada 27 Februari 2026, jam 11 pagi menerusi platform rasmi Ticket2U. Harga tiket bermula daripada RM236 hingga RM488 mengikut kategori yang dinamakan berasaskan lagu-lagu popular Dewa 19.
Acara yang turut disokong rakan strategik seperti Sinar FM, ERA FM, Zayan, THR Gegar, serta portal hiburan Gempak dan The News, dijangka menjadi titik temu paling bermakna buat komuniti Baladewa dan Sobat Padi.
Dengan gabungan karisma, sejarah dan barisan lagu evergreen, Dewa 19 Cintaku Tertinggal di Malaysia berpotensi menjadi antara acara muzik paling diingati tahun 2026.
Dewa 19 & Padi Reborn Bersatu di Kuala Lumpur: Sejarah Konsert Baharu Menanti 6 Jun 2026 #1 The News Malaysia.