by Oh! Semput
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyumbangkan sebanyak 260 ekor lembu korban kepada Parlimen Permatang Pauh sempena sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini bagi membantu golongan memerlukan.
Menerusi perkongsian di media sosial rasmi, beliau menyatakan daripada jumlah itu, sebanyak 155 ekor lembu diagihkan menerusi Program Korban MADANI di tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu DUN Seberang Jaya sebanyak 54 ekor, DUN Penanti (67 ekor) dan DUN Permatang Pasir (34 ekor), manakala 105 ekor lagi disumbangkan kepada Masjid Daerah Seberang Perai Tengah.
Menurutnya lagi, ibadah korban bukan sekadar pelaksanaan ritual agama semata-mata, sebaliknya membawa mesej besar mengenai ketaatan kepada Allah SWT, semangat pengorbanan dan daya juang dalam kehidupan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pendekatan baharu turut diperkenalkan dalam pelaksanaan korban tahun ini apabila peserta yang berkemampuan menyumbang sebahagian kos bagi menjayakan ibadah berkenaan.
Ujarnya, kaedah itu memberi lebih penghayatan kepada peserta mengenai erti sebenar ibadah korban kerana mereka turut menyumbang secara langsung dalam menjayakannya.
Beliau turut mengingatkan bahawa penghayatan ibadah korban perlu diterjemahkan melalui usaha membantu golongan fakir miskin dan masyarakat yang berdepan kesusahan hidup.

Mengulas mengenai isu peruntukan lembu korban yang menjadi perhatian ramai, Anwar secara berseloroh berkata beliau turut menyalurkan bantuan sama di Parlimen Tambun namun Permatang Pauh tetap mempunyai tempat istimewa di hatinya.
Terdahulu, Perdana Menteri turut menghadiri majlis agihan lembu korban bagi DUN Permatang Pasir di Masjid Al-Falah, Pengkalan Tambang serta membawa anak dan cucunya untuk menyantuni masyarakat setempat.

Beliau juga meninjau perkembangan Projek Masjid Jamek Cherok Tok Kun selain menyempurnakan penyerahan lembu korban kepada wakil masyarakat di kawasan berkenaan sebelum meluangkan masa bersama ahli keluarga di kediamannya di Cherok Tok Kun.
: Facebook Anwar Ibrahim