by Oh! Semput
Usaha mencari pesawat ATR 42-500 milik Indonesia Air yang hilang semalam memasuki perkembangan baharu apabila beberapa foto dan video tular di media sosial memaparkan penemuan puing di kawasan Gunung Bulusaraung, Kabupaten Maros. Puing yang ditemui pada Sabtu (17/1) itu didakwa milik pesawat berkenaan, namun pihak penyelamat mengesahkan statusnya masih belum diketahui.
Kepala Seksi Operasi Basarnas Makassar, Andi Sultan, memaklumkan mereka menerima laporan pendaki gunung yang menemui serpihan di puncak Bulusaraung. Bagaimanapun, beliau menegaskan pasukannya tidak dapat mengesahkan perkara itu sehingga siasatan di lokasi dijalankan. Pasukan SAR kini sedang menuju ke kawasan berkenaan bagi mendapatkan maklumat tepat.
Dalam pada itu, Pangdam XIV Hasanuddin, Mayjen Bangun Nawoko, turut memaklumkan bahawa sebuah helikopter Caracal milik TNI AU telah dikerah untuk menyemak laporan berkenaan dari udara. Menurutnya, pasukan udara dijangka memberikan gambaran awal sebaik sahaja tiba di lokasi pencarian.
Sebelum ini, pesawat ATR 42-500 tersebut dilaporkan hilang kontak sekitar jam 13.17 WITA ketika melintasi kawasan Leang-leang, Maros. Pesawat membawa 11 individu, termasuk lapan kru dan tiga penumpang, dan difahamkan sedang disewa oleh Kantor Kesehatan Pelabuhan (KKP) semasa kejadian berlaku.
Setakat ini, operasi pencarian masih dijalankan secara intensif oleh pihak berkuasa Indonesia. Masyarakat diminta tidak membuat sebarang spekulasi berhubung punca atau lokasi pesawat selagi pihak SAR belum mengeluarkan pengesahan rasmi. Fokus utama ketika ini adalah menjejak kedudukan tepat pesawat serta memastikan keadaan semua mangsa yang terlibat.
Puing Didakwa Milik Pesawat ATR 42-500 Ditemui di Bulusaraung, Pasukan SAR Indonesia Sedang Buat Pengesahan #1 The News Malaysia.