Polis Menahan Seramai 21 Orang Asli Kerana Di Syaki Menceroboh Tanah Milik Sultan Pahang Di Rompin Semalam

by Oh! Semput


6
SHARES
78
VIEWS
Posted on 10 Feb 2026 13:31:50

KUANTAN: Polis menahan seramai 21 Orang Asli, semalam, kerana disyaki menceroboh tanah milik Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Rompin.

Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi, berkata semua tangkapan termasuk 17 wanita itu berusia antara 26 hingga 60 tahun.

Beliau berkata, ia susulan Balai Polis Kuala Rompin menerima satu laporan pada hari sama berhubung kes pencerobohan tanah milik Sultan Pahang.

"Pengadu adalah wakil syarikat yang dilantik mengusahakan tanah milik baginda.

"Berdasarkan laporan diterima, sekumpulan Orang Asli didakwa menceroboh, merosakkan palang besi serta memotong buah kelapa sawit dalam kawasan ladang milik baginda seluas 718.281 hektar, tanpa kebenaran.

"Justeru bagi membantu siasatan, empat lelaki dan 17 wanita Orang Asli ditahan dalam kawasan ladang milik baginda itu kerana disyaki menceroboh tanah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sharif Shai berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga enam bulan atau denda tidak lebih RM3,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Beliau berkata, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

"Polis tidak akan berkompromi dengan aktiviti pencerobohan tanah. Mana-mana pihak perlu mempunyai geran pemilikan yang sah untuk mengusahakan tanah.

"Pihak polis menasihati masyarakat supaya mematuhi peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa di negara ini," katanya. #BeritaHarian

http://www.pahangdaily.blogspot.com

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts