by Oh! Semput
KUANTAN: Seorang lelaki ditahan kerana disyaki mencederakan individu menggunakan pedang di sebuah tokong di Cameron Highlands semalam.
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Superintendan Azri Ramli, berkata suspek berusia 39 tahun itu diberkas selepas pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berkaitan kejadian terbabit kira-kira jam 6 petang.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika mangsa lelaki berusia 31 tahun sedang mengadakan upacara keagamaan di rumah ibadat berkenaan bersama rakan-rakannya.
"Secara tiba-tiba suspek datang ke pekarangan tokong terbabit dengan membuat bising dan mengganggu pengunjung. Apabila diminta beredar suspek berang dan mengambil pedang yang berada di tokong lalu melibas ke arah mangsa.
"Mangsa yang cuba menahan tindakan suspek mengalami kecederaan di bahagian tangan, dahi selain badan dan dibawa ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom di Tanah Rata sebelum dirujuk ke Hospital Fatimah, Ipoh untuk rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata, hasil semakan turut mendapati suspek mempunyai rekod jenayah antaranya berkaitan kesalahan dadah.
Azri berkata, lelaki itu kini direman empat hari hingga Khamis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan. #BeritaHarian