by Oh! Semput
KUANTAN: Yayasan Tenun Pahang Diraja (YTPD) dengan kerjasama Kraftangan Malaysia dan Muzium Pahang sekali lagi menganjurkan Piala Tuanku Azizah (PTA) sebagai platform penghargaan kepada artisan tempatan yang kreatif dan berbakat dalam penghasilan tenunan eksklusif Tenun Pahang Diraja.
Tengku Ampuan Pahang Tuanku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang juga Pengerusi YTPD bertitah pertandingan kali kedua itu memberi fokus kepada penghasilan kain samping, tanjak dan bengkung, berbanding tahun lalu yang menampilkan kategori kain samping dan sarung corak beragi.
Baginda bertitah pertandingan itu bertujuan mencungkil bakat penenun yang kreatif dan inovatif dalam menghasilkan Tenun Pahang Diraja yang mempunyai nilai estetika tinggi dari aspek rekaan, teknik serta kemahiran, selain berpotensi dikomersialkan.
“Pada masa yang sama, ia turut mengangkat dan melestarikan budaya serta warisan seni kraf Tenun Pahang Diraja ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” titah Baginda pada sidang media di Muzium Seni Kontemporari (MOCA), Kompleks Muzium Sultan Haji Ahmad Shah, di sini semalam.
Baginda bertitah sebanyak RM151,000 diperuntukkan sebagai hadiah keseluruhan pertandingan dengan johan bakal membawa pulang wang tunai RM30,000 berserta piala dan sijil.
Naib johan pula menerima RM20,000 manakala tempat ketiga memperoleh RM10,000 beserta piala dan sijil selain lima hadiah saguhati bernilai RM5,000 setiap satu, kategori khas The Queen’s Choice sebanyak RM5,000 serta 12 hadiah penghargaan bernilai RM3,000 turut disediakan.
Menurut Baginda, penyertaan terbuka kepada warganegara Malaysia berusia 18 tahun ke atas sama ada secara individu atau berkumpulan tidak melebihi tiga orang.
“Setiap penyertaan perlu menampilkan nilai warisan Malaysia menerusi aspek motif, warna, teknik dan budaya yang bersesuaian,” titah Baginda sambil memaklumkan tarikh tutup penyertaan ialah sebelum pukul 5 petang 22 Mei ini. #MalaysiaAktif