by Oh! Semput
Kerajaan MADANI kini melaksanakan langkah penjimatan ketat melibatkan perbelanjaan menteri dan kementerian, dengan dana yang berjaya dijimatkan akan disalurkan semula bagi manfaat rakyat.
Memetik laporan daripada Bernama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan pemotongan peruntukan akan melibatkan perbelanjaan yang tidak perlu, namun sektor penting seperti pendidikan, kesihatan dan infrastruktur asas tetap diberikan keutamaan.
Menurut beliau, antara langkah yang diambil termasuk mengehadkan lawatan kerja menteri ke luar negara kecuali bagi menghadiri mesyuarat penting yang melibatkan komitmen antarabangsa negara.

Foto: Pejabat Perdana Menteri
Selain itu, Anwar juga menyatakan kursus dan program kerajaan juga tidak lagi digalakkan diadakan di hotel mewah, sebaliknya perlu menggunakan kemudahan milik jabatan kerajaan sebagai sebahagian daripada usaha berjimat cermat.
Dalam pada itu, beliau menegaskan usaha memperkukuh tatakelola dan membanteras rasuah bukan bermotifkan politik, sebaliknya bertujuan memulihkan kedudukan kewangan negara.
Menurut Anwar, hasil penjimatan dan pemulihan dana yang dilakukan kerajaan berjaya menyalurkan semula RM15.5 bilion kepada rakyat menerusi pelbagai inisiatif termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), pembaikan tandas sekolah serta pemberian baucar buku RM100 kepada pelajar.

Mengulas mengenai dasar luar negara, beliau berkata Malaysia mengamalkan pendekatan centrality atau bebas dalam mendepani cabaran geopolitik dunia, selain terus memperkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan dengan negara-negara utama.
Perkara tersebut dinyatakan beliau sewaktu berucap merasmikan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 di Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), hari ini.
: Bernama