Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands (REACH) Persoal Kelulusan Di Tanah Tinggi Sebabkan Insiden Banjir Lumpur

by Oh! Semput


6
SHARES
79
VIEWS
Posted on 21 Apr 2026 16:31:56

CAMERON HIGHLANDS: Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands (REACH) memandang serius insiden banjir lumpur yang berlaku di Habu Heights petang tadi susulan hujan lebat.

Presidennya, A Dilip Martin berkata, kejadian itu sekali lagi menimbulkan persoalan besar terhadap proses kelulusan pembangunan, khususnya melibatkan pembukaan tanah pertanian di kawasan cerun yang sangat curam.

Beliau turut mempersoalkan sejauh mana pihak berkuasa akan terus meluluskan aktiviti pembukaan tanah di kawasan berisiko tinggi, termasuk cerun yang melebihi had selamat.

Menurutnya, REACH juga mempersoalkan mengapa kelulusan bersyarat masih diberikan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS), sedangkan risiko terhadap alam sekitar dan keselamatan awam sudah jelas, khususnya di kawasan tanah tinggi yang sensitif.

Katanya, pihak berkuasa perlu lebih tegas dan bertanggungjawab dalam proses kelulusan serta tidak membuat keputusan secara longgar atau berdasarkan budi bicara semata-mata tanpa mengambil kira kesan jangka panjang.

“Apabila insiden seperti ini berlaku, tiada pihak yang tampil bertanggungjawab dan keadaan ini tidak boleh dibiarkan berterusan.

“Persoalan yang wajar dibangkitkan ialah siapakah yang harus dipertanggungjawabkan dan adakah wajar pegawai atau agensi teknikal yang meluluskan projek berisiko ini dikenakan tindakan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, Cameron Highlands merupakan kawasan sensitif alam sekitar dengan kebanyakan cerun diklasifikasikan sebagai Kelas 1 dan Kelas 2, namun garis panduan itu dilihat tidak dipatuhi sepenuhnya.

Justeru, katanya, setiap permohonan pembangunan perlu dinilai secara teliti melalui lawatan tapak oleh agensi teknikal dan bukannya diluluskan di pejabat semata-mata dengan syarat-syarat yang akhirnya tidak dipantau pelaksanaannya.

REACH turut menyeru semua pihak berkaitan supaya memperketatkan prosedur kelulusan serta memastikan pematuhan yang lebih tegas demi melindungi alam sekitar dan keselamatan komuniti setempat. #BuletinTV3

http://www.pahangdaily.blogspot.com

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts