by Oh! Semput
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan memaksimumkan penggunaan dron sepanjang Operasi Hari Raya Aidiladha (HRAA) bagi mengesan pelbagai kesalahan trafik terutama di kawasan hotspot kemalangan di seluruh negara.
Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Jazmanie Shafawi, sebanyak enam dron akan digunakan sepanjang operasi melibatkan dua unit di Kelantan dan Negeri Sembilan, manakala masing-masing satu unit di Sarawak serta ibu pejabat JPJ.
Penggunaan teknologi tersebut akan difokuskan di lokasi berisiko tinggi yang dikenal pasti daripada keseluruhan 288 kawasan hotspot kemalangan di seluruh negara.
Antara kesalahan utama yang akan dipantau termasuk memotong di garisan berkembar, menyalahgunakan lorong kecemasan serta pelbagai pelanggaran undang-undang jalan raya lain yang sering berlaku ketika musim perayaan.
Menurut beliau, penggunaan dron kali ini akan dilaksanakan secara lebih menyeluruh dan berterusan sepanjang operasi berbanding sebelum ini yang hanya tertumpu pada waktu tertentu sahaja.
Antara laluan yang dikenal pasti sering mencatatkan kemalangan termasuk jalan Kuala Lipis ke Gua Musang, Gua Musang ke Kuala Krai, Gerik ke Jeli serta laluan Segamat ke Mersing.
Bagi lebuh raya pula, kawasan seperti Terowong Menora hingga Sungai Perak serta laluan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) dari Kijal ke Kuala Terengganu turut menjadi fokus pemantauan.
Operasi HRAA dijadual bermula Ahad ini hingga 31 Mei dengan pendekatan penguatkuasaan berstrategi menerusi konsep “Perception of Being Caught” (POBC) bagi meningkatkan tahap pematuhan pengguna jalan raya.
Selain penggunaan dron, operasi turut diperkuat dengan teknologi Enforcement Action Camera (EAC), kamera badan serta rondaan penguatkuasaan membabitkan kira-kira 2,500 pegawai dan anggota JPJ di seluruh negara.
JPJ turut memberi perhatian khusus terhadap penunggang motosikal, kenderaan perdagangan dan pengangkutan awam yang dikenal pasti antara kumpulan paling berisiko terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika musim perayaan.
JPJ Perluas Penggunaan Dron Sepanjang Operasi Aidiladha Pantau Kesalahan Trafik first appeared on #1 The News Malaysia.