by Oh! Semput
PAS menganggap isu membabitkan Ahli Parlimen Pasir Puteh, Nik Muhammad Zawawi Salleh yang didakwa mengeluarkan kenyataan tidak wajar berkaitan sahabat Nabi Muhammad SAW telah selesai selepas beliau tampil mengakui kesilapan, menarik balik kenyataan serta memohon maaf secara terbuka.
Menerusi kenyataan yang dikongsi di media sosial, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man menyatakan parti itu menerima penjelasan serta permohonan maaf dikemukakan tanpa perlu mengambil tindakan lanjut terhadap Ahli Parlimen berkenaan.
Menurutnya, setiap individu tidak terlepas daripada melakukan kesilapan dan perkara paling penting adalah keberanian untuk mengaku salah serta memperbetulkan keadaan.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kontroversi melibatkan ucapan Nik Muhammad Zawawi yang menyentuh kisah sahabat Nabi sehingga mencetuskan kritikan pelbagai pihak.
Dalam pada itu, Tuan Ibrahim turut mengingatkan masyarakat supaya lebih berhati-hati apabila membangkitkan kisah berkaitan zaman jahiliah seseorang termasuk sahabat Rasulullah SAW, terutama jika tidak bersandarkan hadis sahih.

Beliau turut menyifatkan isu berkenaan sebagai pengajaran kepada semua pihak agar lebih berhati-hati ketika menyampaikan ceramah atau ucapan berkaitan agama.
: Facebook Tuan Ibrahim Tuan Man