by Oh! Semput
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan menzahirkan rasa syukur apabila Malaysia dilihat masih mampu bertahan dengan baik dalam mendepani krisis tenaga dunia ketika ini.
Beliau berkata, pengumuman kerajaan berhubung langkah terkini menangani situasi tersebut diterima dengan penuh keinsafan, selain mengingatkan rakyat supaya terus bersyukur dengan pelbagai nikmat yang masih dinikmati negara.

Foto arkib: FB YB Senator Dr. Zulkifli Hasan
Menurutnya, pemerhatian mendapati ramai rakyat menunjukkan sikap rasional serta memahami cabaran semasa yang dihadapi kerajaan dalam menguruskan krisis berkenaan.
Zulkifli berkata, pendekatan Malaysia dalam mengurus isu tenaga turut mendapat perhatian rakan-rakan di luar negara yang menyatakan kekaguman terhadap langkah diambil kerajaan.

Foto arkib: FB YB Senator Dr. Zulkifli Hasan
Katanya, jika dibandingkan dengan beberapa negara lain yang turut berdepan tekanan akibat krisis tenaga global, Malaysia masih menikmati pelbagai kelebihan termasuk pemberian subsidi tenaga kepada rakyat.
Sehubungan itu, beliau mengajak rakyat supaya terus merafakkan kesyukuran serta memperkukuh perpaduan dalam menghadapi cabaran semasa.
Menurutnya, dalam keadaan yang mencabar ini semua pihak perlu bersatu hati, berfikiran rasional dan mengutamakan kepentingan bersama berbanding kepentingan peribadi.
Zulkifli turut menggesa masyarakat agar terus menyebarkan perkara baik dan positif bagi memastikan keharmonian serta kestabilan negara terus terpelihara.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan akan melaksanakan penyelarasan sementara kelayakan Program Budi MADANI RON95 (BUDI95), daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan bermula 1 April 2026 berikutan konflik yang berlaku di Asia Barat.

Foto: MyKOM
Bagaimanapun, beliau menegaskan harga petrol RON95 bersubsidi kekal pada kadar RM1.99 seliter.
Anwar turut berharap rakyat dapat memahami langkah pelarasan sementara itu yang menurutnya akan dilaksanakan sehingga keadaan pasaran minyak, bekalan global dan ekonomi dunia kembali stabil.
: Facebook YB Senator Dr. Zulkifli Hasan