Penyeri Perjalanan Karier Anuar Zain

by Oh! Semput


10
SHARES
132
VIEWS
Posted on 14 Dec 2016 02:00:51

anuar zain

BUKAN selalu dapat bersua muka dengan penyanyi lelaki yang memiliki suara merdu, Anuar Zain dalam mana-mana acara hiburan. Dalam setahun, boleh dikira berapa banyak persembahan yang dilakukannya.

Begitupun, sejak akhir-akhir ini, kelibat pemilik nama Shahrul Anuar Zain dilihat galak memunculkan diri dengan beberapa siri persembahan, selain kisah pelancaran album terbaharunya yang menjadi penyeri kepada perjalanan karier pada tahun ini.

Berita baik buat peminat setia penyanyi berusia 47 tahun itu apabila Anuar bakal muncul dengan sebuah persembahan eksklusif Yonder Music Live Series By The Lake: Anuar Zain & You dengan kerjasama Yonder Music Malaysia.

Persembahan tersebut akan berlangsung pada 21 Januari tahun depan di Panggung Anniversari, Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur, pukul 8 malam.

Teruja dengan persembahan itu yang merupakan acara pembuka tirai buat dirinya bagi tahun 2017, Anuar menyifatkan ia adalah hadiah kepada peminat yang tidak pernah jemu menyokong kariernya selama ini.

“Duduk tinggi mana sekalipun, peminat adalah penyebab kepada kejayaan seseorang artis. Untuk itu, saya bawakan persembahan eksklusif ini untuk para peminat saya sempena promosi album terbaharu yang masih berjalan ketika ini,” ujarnya membuka bicara ketika ditemui pada majlis sidang media YonderMusic Live Series By The Lake: Anuar Zain & You di Hotel Le Meridien, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Persembahan pada malam itu akan mendapat sentuhan pengarah muzik tersohor, Sze Wan serta pengarah persembahan, Jennifer Thompson.

Bercerita lanjut mengenai persembahan tersebut, Anuar bakal mendendangkan sebanyak 14 buah lagu termasuk Sedetik Lebih dan Bila Resah yang diberi nafas baharu dari segi susunan muzik. Ia termasuk beberapa buah lagu dalam album baharunya seperti Andainya Takdir.

Tiket persembahan dijual pada harga RM388, RM488, RM588, RM788 dan RM888. Ia boleh didapati menerusi laman web www.ticketcharge.com.my dan telah mula dijual pada 9 Disember lalu.

Yakin diterima

Biarpun mengakui harga tiket yang dijual agak mahal, Anuar tetap optimis dengan sambutan peminat. Penyanyi yang memiliki aura tersendiri itu beranggapan masyarakat yang pandai mengukur nilai seni dan muzik tidak memandang pada harga sesuatu tiket persembahan.

“Saya percaya peminat yang menghargai seni akan datang untuk menonton persembahan ini. Ia bukan tentang populariti atau nama tetapi yakin bahawa peminat sangat bijak untuk menilai muzik yang saya bawakan.

“Persembahan ini bukan tentang bisnes semata-mata, sebaliknya niat saya untuk mendekatkan diri dengan peminat dan menghiburkan mereka menerusi persembahan berkualiti,” ujarnya.

Tambah Anuar, muzik adalah suatu terapi yang bagus untuk melepaskan tekanan jiwa sama ada disebabkan tuntutan kerja, kewangan atau hidup.

“Dalam keadaan ekonomi negara yang tidak begitu memberangsangkan, pelbagai masalah boleh timbul dalam hidup seseorang.

“Justeru, saya percaya muzik mampu membantu manusia untuk kekal positif dan melupakan segala masalah yang dialami. Ini boleh dikatakan hadiah buat peminat untuk mencari sesuatu yang boleh melegakan tekanan mereka.

“Mengimbas kembali sebuah cerita yang disampaikan oleh kakak Ziana (Zain), pernah ada seorang pesakit yang sembuh daripada tekanan jiwa selepas mendengar lagu saya.

“Apa yang saya mahu katakan di sini ialah, muzik boleh mempengaruhi hidup seseorang tidak kira dalam suka atau duka, malah saya terharu menjadi salah seorang penyanyi yang terpilih,” ujarnya.

Album laris

Dalam perkembangan lain, Anuar yang baru sahaja melancarkan album kelimanya Anuar Zain Volume 5 pada September lalu berkata, sehingga kini ia sudah terjual sebanyak 11,000 unit.

Hasil daripada jelajah yang dilakukannya di seluruh negara untuk mempromosi album yang menelan belanja sebanyak ratusan ribuan ringgit itu.

“Alhamdulillah, pada mulanya kami hanya mengeluarkan sebanyak 5,000 unit untuk keluaran pertama. Namun, atas sambutan menggalakkan yang diterima daripada peminat dengan jelajah yang saya lakukan di beberapa lokasi di seluruh negara, jumlah itu meningkat mendadak.

“Sejujurnya, bukan kuantiti yang menjadi objektif utama tetapi peluang mendekati peminat secara terbuka dan lebih dekat melalui jelajah sebegini telah membuka mata saya bahawa mereka adalah segala-galanya.

“Peminat sanggup beratur panjang semata-mata untuk bertemu dengan saya. Jadi, saya rasa pengeluaran album ini sangat berbaloi kerana saya melakukannya untuk mereka,” ujarnya menutup perbualan.

Baca lagi: Najwa Mahiaddin Cipta Lagu buat Anuar Zain

's

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts