by Oh! Semput
KUANTAN: Pengeluaran durian klon di negeri ini dijangka meningkat dua hingga tiga kali ganda bermula Jun depan berikutan faktor cuaca dan pendebungaan bunga yang sangat menggalakkan di negeri ini.
Pekebun durian, Lokman Isa, 65, berkata pengeluaran bunga durian bagi musim pertama tahun ini begitu banyak, faktor berkenaan menandakan buah yang bakal keluar akan banyak seterusnya mampu memberi keuntungan lebih pada pekebun.
Menurutnya, rata-rata pekebun durian klon berskala besar di Jerantut, Raub dan Bentong yakin pengeluaran kebun durian mereka bertambah terutama apabila melihat bunga durian yang keluar kini begitu banyak.
"Harga durian klon yang masih berada pada tahap memuaskan walaupun sedikit menurun berbanding sebelum ini, namun itu tidak terlalu menjejaskan keuntungan diraih oleh pekebun.
"Antara durian klon terkenal di negeri ini seperti Musang King, Duri Hitam, D24 dan IOI. Permintaan terhadap raja buah itu begitu menggalakkan walaupun harganya lebih tinggi berbanding durian kampung," katanya ketika dihubungi.
Lokman yang mengusahakan kebun durian klon duri hitam seluas lebih lima hektar di Jerantut berkata, permintaan terhadap durian klon dan kampung sentiasa bertambah walaupun harga yang ditawarkan ada ketikanya agak tinggi.
"Apabila buah banyak harga durian akan turun seterusnya memberi peluang kepada peminat raja buah menikmati durian dengan lebih banyak," katanya yang juga bekas pegawai Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Daerah Jerantut.
Sementara itu, Pengarah FAMA Pahang Rashiha Mamat berkata, pihaknya membeli lebih 30 tan durian klon dan kampung pada musim akhir tahun lalu dan menyasarkan 50 tan lagi akan dibeli sehingga hujung bulan ini apabila pengeluaran musim berkenaan berakhir.
"Setiap kali musim durian kami sedia membantu memasarkan raja buah itu bagi mengelak kerugian ditanggung pekebun apabila mereka tidak dapat memasarkan hasil, selain itu kita turut menghasilkan pes tempoyak.
"Sekiranya terbukti pengeluaran durian pada pertengahan tahun ini bertambah, usaha membantu pekebun akan terus dilakukan. #HarianMetro