by Oh! Semput
Presiden Persatuan Dinamik Sinar Kasih, Dato’ N Sivakumar menggesa kerajaan melaksanakan tindakan lebih keras dan luar biasa bagi menangani isu pemanduan mabuk yang dilihat semakin membimbangkan.
Memetik laporan daripada Malaysia Gazette, beliau menyatakan tragedi terbaru di Jalan Ampang yang meragut nyawa sepasang suami isteri hingga menyebabkan tiga anak menjadi yatim piatu membuktikan pendekatan sedia ada masih belum cukup berkesan.
Ujarnya, kebimbangan mengenai peningkatan kes pemandu mabuk telah lama disuarakan, namun kejadian sama terus berulang tanpa penyelesaian tuntas.

Sivakumar menegaskan pemanduan di bawah pengaruh alkohol perlu diklasifikasikan sebagai jenayah berat kerana melibatkan kecuaian melampau yang boleh meragut nyawa pengguna jalan raya lain.
Beliau turut mencadangkan hukuman lebih berat termasuk penjara mandatori, pembatalan lesen dalam tempoh panjang serta larangan seumur hidup bagi pesalah berulang.

Selain itu, beliau menyarankan pelaksanaan sekatan jalan raya secara lebih agresif dan konsisten terutama pada waktu berisiko tinggi seperti lewat malam, hujung minggu dan musim perayaan.
Dalam masa sama, beliau turut mencadangkan penggunaan teknologi seperti kamera pintar dan sistem pengesanan automatik bagi membantu pihak berkuasa mengenal pasti pemandu berbahaya dengan lebih pantas.
Sivakumar juga mahu proses perundangan dipercepatkan supaya keluarga mangsa tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan keadilan.