by Oh! Semput
KUANTAN: Dua pemain kebangsaan, Muhammad Amiro Izzat Mohd Annuar dan Adam Rayyan Norhisham menjadi sandaran tambahan buat skuad Pahang Rangers FC pada saingan Liga Futsal Premier Malaysia (MPFL) musim ini.
Pengalaman bersaing pada Kejuaraan Futsal Asean 2026 di Thailand, bulan lalu diharap menambahkan lagi sengat dua pemain muda berkenaan yang membawa misi Tok Gajah meraih kejayaan berganda musim ini selepas gagal menyerlah musim lalu.
Ketua jurulatih Pahang Rangers, Eloy Alonso Fraile berkata, kehadiran dua pemain berkenaan diharap menjadi senjata tambahan buat pasukan yang kini dalam persiapan terakhir menjelang MPFL tidak lama lagi.
Katanya, prestasi yang memuaskan dipamerkan Muhammad Amiro Izzat pada sesi latihan memberi kelebihan kepadanya mengisi posisi penjaga gol, bagaimanapun dia perlu terus bersaing dengan dua lagi rakannya bagi menempatkan diri dalam pasukan.
"Saya difahamkan dia (Adam Rayyan) menyumbang jaringan tunggal untuk pasukan Harimau Malaya ketika berhadapan dengan Australia di pentas Kejuaraan Futsal Asean, kali pertama mewakili negara mencetuskan sinar buat dirinya yang masih memerlukan lebih banyak pengalaman.
"Gandingan pemain senior dan muda dalam pasukan Pahang Rangers musim ini mampu membentuk pasukan yang lebih mantap seterusnya berupaya menghasilkan keputusan diharapkan pada setiap perlawanan dilalui," katanya. #HarianMetro