by Oh! Semput
KOTA KINABALU: Seorang pelancong Korea ditemui mati dipercayai lemas ketika melakukan aktiviti snorkeling di perairan Pulau Sapi, dekat sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi, Jun Myun Gok, 68, ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di perairan terbabit oleh sekumpulan pelancong lain.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra, berkata sebelum kejadian, mangsa bersama beberapa rakannya pergi ke pulau itu untuk bercuti di samping melakukan aktiviti snorkeling.
“Bagaimanapun selepas kira-kira 30 minit, seorang rakannya mendapati mangsa dalam keadaan tidak bergerak lalu segera meminta bantuan pengawal pantai yang bertugas.
“Pengawal pantai terbabit cuba memberikan bantuan pernafasan (CPR) namun mangsa tidak memberi maklum balas dan dia kemudian dihantar ke Hospital Queen Elizabeth 1 (QEH1),” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Chandra berkata, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital.
Beliau berkata, siasatan lanjut juga mendapati tiada sebarang kecederaan ditemui pada badan mangsa dan kes itu dikasifikasikan sebagai mati mengejut. – BH Online