Pelajar MRSM Kuantan Berjaya Mencipta Sejarah, Jadi Rakyat Malaysia Paling Muda Lanjutkan Pengajian Perubatan Di Rusia

by Oh! Semput


9
SHARES
118
VIEWS
Posted on 07 Mar 2026 10:01:57

Bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuantan, Iskandar Warid Mohd Nazrul Izad baru-baru ini mencipta pencapaian membanggakan apabila berjaya melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di Kursk State Medical University, Rusia pada usia seawal 17 tahun.

Memetik laporan Getaran, remaja yang berasal dari Kuantan itu memperoleh tempat di universiti berprestij berkenaan menerusi keputusan percubaan International General Certificate of Secondary Education (IGCSE UK) yang didudukinya tahun lalu.

Menurut bapanya yang juga merupakan seorang ahli perniagaan, Mohd Nazrul Izad Mohd Arsad beliau meluahkan rasa syukur dan bangga atas pencapaian akademik luar biasa anaknya.

“Ketika rakan-rakan sebayanya sibuk membuat persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia telah pun memulakan pengajian di sebuah universiti di luar negara,” katanya.

Menurut Mohd Nazrul lagi, potensi akademik Iskandar sebenarnya telah terserlah sejak di bangku sekolah rendah. Sepanjang tempoh pengajiannya di MRSM Kuantan, Iskandar juga sering menerima pelbagai anugerah kecemerlangan akademik.

“Siapa sangka seorang anak dari Beserah mampu melangkah sejauh ini untuk mengejar impiannya menjadi seorang doktor dan mungkin suatu hari nanti, seorang ahli politik,” ujarnya lagi. 

Dalam pada itu, Iskandar difahamkan akan mengikuti program perubatan selama tujuh tahun bagi melayakkan dirinya bergelar doktor. Selepas menamatkan pengajian, beliau boleh memilih sama ada untuk melengkapkan latihan klinikal di luar negara ataupun kembali berkhidmat di Malaysia.

Difahamkan, Iskandar sudah pun berlepas ke Rusia pada Februari lalu untuk memulakan pengajian, namun akan kembali ke Malaysia pada Disember bagi menduduki peperiksaan SPM seperti calon lain.

Sementara itu, menurut Iskandar, peluang melanjutkan pengajian pada usia muda ini dianggap sebagai satu amanah besar yang perlu dimanfaatkan sebaik mungkin.

“InsyaAllah, saya akan belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai impian menjadi pakar kanser suatu hari nanti” 

“Saya amat terkesan dengan pemergian datuk kesayangan saya akibat kanser paru-paru. Itulah yang mendorong saya untuk mengkhusus dalam rawatan kanser,” jelasnya.

Selain mengejar cita-cita sebagai pakar onkologi, Iskandar juga menyimpan hasrat untuk terlibat dalam bidang penyelidikan perubatan pada masa hadapan. 

Beliau mahu menyumbang kepada pembangunan rawatan kanser yang lebih efektif dan pada masa sama lebih mampu diakses oleh pesakit, khususnya mereka yang berdepan kekangan kos rawatan. #Remaja.my

http://www.pahangdaily.blogspot.com

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts