by Oh! Semput
Seremban: Pemilik kenderaan lama masih mempunyai masa untuk memasang alat kerusi kereta bayi dan kanak-kanak atau ISOFIX selepas kerajaan mewajibkan penggunaannya pada 2019.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, ISOFIX adalah kemudahan sambungan kerusi kanak-kanak yang boleh disambungkan pada kerusi kenderaan dengan mudah dan selamat.
Menurutnya, semua kenderaan baru buatan tempatan dan import sudah mempunyai ISOFIX di tempat duduk belakang bermula tahun ini.
“Kebanyakan kenderaan lama tidak mempunyai ISOFIX untuk melindungi keselamatan kanak-kanak.
“Langkah penguatkuasaan penggunaan ISOFIX itu kerana kerusi biasa tidak selamat untuk melindungi keselamatan kanak-kanak terutama apabila berlaku kemalangan,” katanya pada sidang media selepas majlis penganugerahan Sijil CKM Landas MRO di Depoh Penyelenggaraan EMU Keretapi Tanah Melayu Berhad, di sini, hari ini.
Beliau berkata, kerajaan sedang berbincang bersama pengeluar produk berkenaan supaya ISOFIX dapat dijual dengan harga lebih murah dan mampu dibeli oleh ibu bapa yang mempunyai bayi atau anak kecil.
Category: Semasa