by Oh! Semput
KUANTAN: Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) Perdana Gabungan Semua 14 Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) seluruh Negeri Pahang berjaya dilaksanakan dengan jayanya dengan PKR Cabang Kuantan mencatat mobilisasi tertinggi, apabila lebih 450 anggotanya hadir dalam Majlis MATC Perdana yang berlangsung pada 10 April lalu.
Ketua Cabang PKR Kuantan, Fakhrul Anuar Zulkawi merakamkan penghargaan kepada seluruh anggota yang hadir dan menunjukkan komitmen tinggi dalam menjayakan program tersebut.
"Kehadiran luar biasa ini membuktikan semangat juang dan kesatuan yang kukuh dalam kalangan anggota PKR Kuantan," katanya dalam satu kenyataan.
Majlis berkenaan telah disempurnakan perasmiannya oleh Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz, dan turut diserikan dengan ucapan penuh semangat daripada Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Pahang, Datuk Ahmad Farhan Fauzi yang menekankan kepentingan kesepaduan dalam parti.
Dalam ucapannya, Ahmad Farhan menekankan kepentingan perpaduan dan disiplin dalam kalangan anggota parti, selain menyeru kesiapsiagaan jentera dalam menghadapi cabaran politik.
Dalam pada itu, Fakhrul Anuar turut mengucapkan tahniah kepada semua anggota yang terlibat, sambil berharap momentum tersebut dapat diteruskan dalam memperkukuh perjuangan parti.
"Semoga semangat ini terus diperkasakan dalam perjuangan kita bersama," katanya lagi. #SuaraKeadilan