by Oh! Semput
KUANTAN: PAS Pahang menegaskan pendirian menolak sebarang usaha mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebagai kelayakan setara bagi kemasukan ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) tanpa pematuhan kepada syarat Bahasa Melayu dan kurikulum kebangsaan.
Ketua Penerangan PAS Pahang, Aireroshairi Roslan berkata, isu pengiktirafan UEC bukan sekadar berkaitan akses pendidikan, sebaliknya membabitkan asas pembinaan negara bangsa dan semangat perpaduan nasional.
Menurutnya, Penyata Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960 perlu terus dijadikan asas dalam mempertahankan sistem pendidikan kebangsaan.
“PAS Negeri Pahang melihat gesaan berterusan untuk mengiktiraf UEC ini bukan sekadar isu teknikal pendidikan, tetapi satu percubaan halus untuk menceraikan negara daripada falsafah asas pembinaan bangsa Malaysia yang termaktub dalam Penyata Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960.
“Persoalan asas yang perlu dijawab dengan jujur oleh penyokong pengiktirafan UEC ialah apakah keperluan sebenar di sebalik desakan ini sedangkan pelajar lepasan UEC tidak pernah dinafikan peluang untuk melanjutkan pelajaran?
“Mereka bebas memohon ke universiti swasta tempatan, institusi pengajian tinggi luar negara, malah ke IPTA sekiranya memenuhi syarat kemasukan yang telah ditetapkan termasuklah keperluan lulus Bahasa Melayu di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Jika pintu sudah terbuka luas, mengapakah masih berlumba-lumba menggegar dinding yang sengaja dibina untuk menjaga keutuhan sistem pendidikan kebangsaan kita?
“Hakikatnya, isu ini bukan tentang akses kepada pendidikan tinggi, tetapi tentang pengiktirafan sistem pendidikan vernakular yang beroperasi di luar kerangka perpaduan nasional yang disepakati nenek moyang kita sejak sebelum merdeka lagi,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Pendidikan Tinggi pada 15 Mei lalu berhubung pengiktirafan UEC bagi kemasukan ke IPTA yang kembali mencetuskan perdebatan dalam kalangan pelbagai pihak.
“Kenyataan Menteri Pendidikan sekali lagi membuka lembaran polemik lama yang sepatutnya sudah diselesaikan dengan bijaksana oleh pemimpin negara yang benar-benar memahami kontrak sosial dan semangat perpaduan bangsa,” katanya.
Beliau berkata, Penyata Razak 1956 bukan sekadar dokumen lapuk yang boleh dipinggirkan demi kepentingan politik sempit sebaliknya wasiat bangsa digubal dengan penuh hikmah oleh pemimpin silam yang memahami betapa rapuhnya perpaduan negara majmuk seperti Malaysia.
“Apabila Akta Pelajaran 1961 dikuatkuasakan, sekolah menengah aliran Cina diberi pilihan sama ada menerima Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan kekal dalam sistem kebangsaan atau terus beroperasi secara persendirian dengan kurikulum sendiri tanpa pengiktirafan penuh kerajaan. Pilihan itu dibuat dengan sedar dan sukarela.
“Kini, tujuh dekad kemudian, kita mahu ubah peraturan permainan semata-mata kerana tekanan politik? Ini bukan soal hak asasi pendidikan ini soal integriti kontrak sosial yang mengikat kita sebagai satu bangsa,” ujarnya.
Bagaimanapun kata beliau, Kerajaan Persekutuan hari ini kelihatan lebih ghairah memperjuangkan agenda politik perkauman berbanding mempertahankan prinsip perpaduan yang menjadi tulang belakang kestabilan negara.
Tambah beliau, PAS tidak menolak pendidikan Cina atau usaha masyarakat Cina memartabatkan bahasa dan budaya mereka melalui sekolah vernakular dan institusi swasta.
Namun katanya, IPTA sebagai institusi awam yang dibiayai kerajaan perlu mengekalkan syarat kemasukan yang mencerminkan semangat kebangsaan dan perpaduan.
“Menghormati tidak bermakna mengorbankan prinsip. IPTA adalah institusi awam yang dibiayai wang rakyat berbilang kaum, maka standard kemasukan mestilah mencerminkan semangat kebangsaan yang inklusif dan adil kepada semua, bukan hanya memenuhi kehendak satu-satu pihak.
“Kami mencabar Kerajaan Negeri Pahang dan Kerajaan Persekutuan beranikah anda menjawab secara terbuka di hadapan rakyat jelata apakah agenda sebenar di sebalik desakan UEC ini? Adakah ia untuk memperbaiki kualiti pendidikan negara, atau sekadar untuk menuai undi politik menjelang pilihan raya umum?
“Rakyat Pahang mahukan jawapan yang jujur, bukan retorik hambar yang menghina akal,” tegasnya.
Terdahulu, dilaporkan calon lepasan UEC berpeluang mengikuti program tertentu yang dikenal pasti di IPTA.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataannya memaklumkan bahawa langkah itu dipersetujui berdasarkan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri berkaitan laluan kemasukan pelajar lepasan di luar sistem pendidikan kebangsaan ke IPTA.
Menurut kenyataan itu, bagi calon daripada aliran terbabit yang turut memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) penuh, mereka boleh memohon mana-mana program pengajian yang ditawarkan melalui sistem UPUOnline mengikut kiraan merit berdasarkan pakej mata pelajaran yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM). #Harakahdaily