by Oh! Semput
Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar mencadangkan agar kerajaan menubuhkan sebuah jawatankuasa bebas bagi memantau tindakan penguatkuasaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) secara lebih telus dan berkesan.
Memetik laporan yang disiarkan The Star hari ini, beliau menyatakan jawatankuasa tersebut wajar bertanggungjawab terus kepada Parlimen, memandangkan isu yang melibatkan SPRM disifatkan bersifat sistemik dengan kuasa penyiasatan, pendakwaan dan kewangan tertumpu di bawah satu institusi.

Nurul Izzah turut mengingatkan bahawa pemantauan luar terhadap SPRM ketika ini amat terhad dan boleh dikatakan tidak berkesan, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap ketelusan institusi berkenaan.

Pada Mei tahun lalu, beliau pernah menyuarakan bantahan terhadap keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melanjutkan kontrak Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM buat kali ketiga, selain menyatakan komitmen untuk membangkitkan perkara itu secara langsung.
Mengulas lanjut, Nurul Izzah berkata jawatankuasa pemantau itu perlu diberikan kuasa untuk menyemak tindakan penguatkuasaan termasuk pembekuan aset, audit aliran kewangan serta memastikan siasatan berpandukan bukti dan proses sewajarnya.

Artikel lain: Tugas SPRM sita & pulangkan wang rasuah, urus belanja di tangan MOF -Azam Baki
Beliau menegaskan, institusi yang memiliki kuasa besar mesti dipertanggungjawabkan pada tahap tertinggi bagi memastikan kepercayaan rakyat terhadap usaha membanteras rasuah terus terpelihara.
: The Star