by Oh! Semput
Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengaku di Mahkamah Tinggi bahawa wang berjumlah RM42 juta yang dimasukkan ke dalam akaun bank peribadinya tidak mempunyai sebarang kaitan dengan derma dari Arab Saudi.
Memetik laporan daripada Bernama, pengakuan itu dibuat ketika beliau disoal balas oleh peguam kepada SRC International Sdn Bhd, Kwan Will Sen, dalam saman sivil RM42 juta yang difailkan SRC bersama anak syarikatnya, Gandingan Mentari Sdn Bhd.

Terdahulu, Kwan meminta Najib mengakui bahawa pembelaan beliau berhubung derma Arab Saudi telah ditolak sepenuhnya oleh mahkamah dalam prosiding jenayah SRC International.

Najib turut mengakui bahawa Mahkamah Tinggi dalam keputusan terbaharu perbicaraan melibatkan 1MDB memutuskan tiada bukti dokumentari yang menyokong pembelaan beliau berkaitan derma Arab Saudi.

Artikel lain: Rosmah nafi jadi punca kejatuhan suami, terkilan ada pihak ‘gembira’ atas penderitaan Najib
Untuk rekod, saman sivil yang difailkan pada 2021 itu menuntut pengisytiharan bahawa Najib bertanggungjawab ke atas RM42 juta berkenaan, selain menuntut ganti rugi atas penerimaan dengan pengetahuan, bantuan secara tidak jujur, salah laku dalam jawatan awam serta penyalahgunaan kuasa.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan bersambung esok.
: Bernama