by Oh! Semput
Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menzahirkan rasa syukur apabila diberi peluang kedua untuk kembali semula bergabung bersama kepimpinan parti dan memohon agar keahliannya dalam United Malays National Organisation (UMNO) diaktifkan semula.

Menerusi hantaran di Facebook, Khairy berkata beliau bersyukur kerana dapat sekali lagi berkhidmat dalam perjuangan demi agama, bangsa dan negara.
Menurutnya, beliau juga menghargai kesediaan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi menerima kunjungannya dalam semangat ‘Rumah Bangsa’ dalam bulan yang mulia ini.
Khairy turut memaklumkan bahawa beliau telah secara rasmi memohon agar pemecatan keahliannya daripada UMNO dibatalkan serta nombor keahlian asalnya diaktifkan semula.
Beliau berharap Presiden UMNO, Majlis Tertinggi parti serta Jawatankuasa Rumah Bangsa dapat mempertimbangkan permohonannya dengan sewajarnya.

Dalam masa sama, Ahli Parlimen Rembau itu menegaskan bahawa situasi politik negara ketika ini memerlukan UMNO diperkukuhkan sebagai wadah penyatuan bangsa Melayu dan pembangunan negara untuk seluruh rakyat Malaysia.
Khairy turut menegaskan bahawa permohonannya untuk kembali ke parti itu tidak disertai sebarang syarat atau kepentingan peribadi.
Beliau menambah, sekiranya diberi peluang kembali, beliau bersedia membantu memperkukuh parti demi memastikan “bahtera perjuangan bangsa” itu terus berlayar meredah cabaran zaman.

Khairy mengakhiri kenyataannya dengan harapan agar UMNO terus membawa aspirasi penyatuan bangsa yang teguh dan bermaruah.
: Facebook Khairy Jamaluddin