by Oh! Semput
Malaysia akan mengutamakan keperluan bahan api domestik sebelum membekalkan sebarang lebihan kepada Australia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, lapor Bernama.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan telah mendapat jaminan daripada Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) bahawa bekalan berkenaan mencukupi untuk penggunaan dalam negara manakala sebarang lebihan akan disalurkan kepada rakan yang boleh dipercayai seperti Australia.

Foto: PMO
Beliau berkata, pengaturan sedemikian mencerminkan betapa pentingnya rundingan dan persefahaman bersama antara negara rakan, khususnya apabila kedua-dua negara saling bergantung antara satu sama lain untuk sumber strategik.
Anwar berkata, Malaysia mengimport gas termasuk gas asli cecair (LNG) dari Australia, yang telah mengulangi komitmennya untuk mematuhi perjanjian bekalan sedia ada manakala Malaysia pula akan memastikan keperluan Australia dipenuhi setelah keperluan dalam negara terlebih dahulu.
Anwar turut menekankan Malaysia akan terus memperkukuh hubungan dengan pelbagai rakan antarabangsa, di samping memastikan kepentingan negara dan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan kerajaan.

Foto: PMO
Beliau berkata negara ini mengekalkan hubungan ekonomi yang pelbagai dengan pemain utama global, sambil menegaskan Amerika Syarikat kekal sebagai sumber terbesar perdagangan dan pelaburan Malaysia, meskipun Kuala Lumpur terus menjalin hubungan dua hala yang konstruktif dengan negara lain termasuk Rusia.
Anwar berkata, dalam persekitaran global yang semakin kompleks, Malaysia perlu mengurus hubungan antarabangsanya dengan berhati-hati bagi memastikan kestabilan ekonomi serta melindungi kepentingan negara.
: Bernama